Guan Eng sambut baik wujud zon bebas cukai di Negeri Sembilan

Guan Eng sambut baik wujud zon bebas cukai di Negeri Sembilan

Pembangunan Lembah Wawasan 2.0 yang berkeluasan 153,411 hektar merangkumi Nilai sehingga Port Dickson.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-20 di Seremban hari ini. Turut kelihatan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun; Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan pimpinan PH negeri.(Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyambut baik cadangan kerajaan Negeri Sembilan untuk mewujudkan sebuah zon bebas cukai di projek pembangunan Lembah Wawasan 2.0 (MVV 2.0).

Bagaimana pun katanya, kerajaan negeri perlu mengemukakan permohonan secara rasmi kepada kerajaan pusat.

Pembangunan itu yang berkeluasan 153,411 hektar merangkumi Nilai sehingga Port Dickson.

“Cadangan kawasan bebas cukai ini kita akan pertimbangkan dengan serius,” kata Guan Eng ketika berucap merasmikan Konvesyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-20 di sini, hari ini.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata demikian sebagai mengulas permohonan yang dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun ketika berucap di konvensyen yang sama, hari ini.

Dalam ucapannya, Aminuddin berkata, dengan adanya zon bebas cukai di kawasan itu, ia diyakini mampu meningkatkan dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita mohon kalau boleh adakan sebuah zon bebas cukai di MVV 2.0. Ini harus dibincangkan bersama kerajaan Persekutuan. Ia pastinya mampu mempesatkan lagi pembangunan di Negeri Sembilan kerana kita lihat negeri ini setaraf dengan Melaka.

“Justeru kehadiran MVV ini dengan adanya kawasan bebas cukai, kita yakin ia akan meningkatkan lagi ekonomi di negeri ini. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh menteri kewangan,” katanya.

Turut hadir di konvensyen berkenaan ialah menteri pengangkutan yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook.

MVV 2.0 merupakan rancangan jangka panjang pembangunan Negeri Sembilan ke arah menjadi sebuah negeri maju yang memiliki pembangunan metropolis bertaraf dunia, sekali gus memberi impak kepada ekonomi Malaysia dengan pelaburan antarabangsa dan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.