Jerebu di Sarawak makin teruk, Sri Aman masih di tahap bahaya

Jerebu di Sarawak makin teruk, Sri Aman masih di tahap bahaya

Bacaan IPU di Sri Aman tertinggi hari ini ialah 420 pada 10 pagi tadi dan ia turun kepada 411 pada 3 petang ini.

Tangki khas berisi larutan garam dimasukkan ke pesawat C-130 di Pangkalan TUDM Kuching untuk operasi pembenihan awan, selepas Sri Aman merekodkan IPU melebihi 400 hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keadaan jerebu di Sarawak bertambah teruk hari ini dengan Sri Aman mencecah tahap berbahaya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 400.

Sri Aman merekodkan IPU tertinggi hari ini, iaitu 420 pada 10 pagi tadi, sebelum ia mula turun sejam kemudian kepada 417 dan 411 pada 3 petang ini.

Tiga lagi kawasan di Sarawak mencatatkan IPU sangat tidak sihat yang melebihi 201, iaitu Kuching (237), Sarikei (212) dan Samarahan (210).

Sebanyak 17 kawasan lain mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu Sibu (175), Batu Muda (150), Cheras (146), Johan Setia di Klang (144), Putrajaya (137), Petaling Jaya (136), Nilai (133), Mukah di Sarawak dan Shah Alam di Selangor (126), Tasek Ipoh di Perak (123), Banting (110), Seremban (108), Bintulu di Sarawak dan Klang di Selangor (106), Miri di Sarawak dan Besut di Terengganu (104) serta Segamat di Johor (102).

Keadaan jerebu di 46 kawasan lain berada di tahap sederhana dan tiada kawasan yang merekodkan kualiti udara sihat.

Bacaan IPU 0-50 dikategorikan kualiti udara sihat, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar dalam kenyataan hari ini berkata, bacaan IPU di Sri Aman mencapai tahap bahaya disebabkan kebakaran hutan belukar di Kampung STC Sri Aman, Jalan Tisak Betong dan Jalan Ketajau, serta jerebu rentas sempadan.

Katanya, pasukan bomba giat memadamkan kebakaran di kawasan terbabit.

Menurut JAS, jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan turut menjejaskan kualiti udara di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, barat Sarawak, sekitar Tawau dan Sandakan di Sabah.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah Embas dipetik Bernama sebagai berkata, pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia akan memulakan operasi pembenihan awan selama tiga hari di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Kanowit, Sibu, Mukah, Sematan dan Bau.

“Hari ini, laluan pesawat ialah dari Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman serta sebanyak yang mungkin kawasan lain.

“Ini kerana penerbangan pesawat bukan isu, tetapi awan yang menjadi isu kerana operasi ini perlu mencari awan bagi menukarkannya kepada hujan,” katanya selepas melihat persiapan operasi pembenihan awan di Pangkalan TUDM Kuching hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.