
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknoligi Mara (UiTM) Sabah memberitahu FMT bahawa kebimbangan utama parti pembangkang di Sabah dan Sarawak ialah hak kedua-dua negeri itu yang menurutnya tidak merupakan keutamaan PAS dan Umno.
Bercakap tentang Sabah, beliau berkata, parti pembangkang di negeri itu akan mengikuti rapat reaksi pengundi terhadap pakatan baru itu atas kesedaran bahawa kini wujud satu lagi pilihan politik.
“Rakyat Sabah mungkin mahu mendengar dan melihat apakah tawaran yang boleh diberikan oleh PAS dan Umno kepada mereka,” katanya.

“Bagaimanapun pakatan politik baru ini akan berdepan cabaran besar untuk menarik golongan Bumiputera bukan Islam, terutama komuniti Kadazandusun Murut.”
Beliau berkata, adalah jelas bahawa PAS dan Umno akan memberi tumpuan kepada usaha memenangi sokongan pengundi Melayu melalui formalisasi kerjasama mereka.
“Matlamat menyatukan orang Melayu sepatutnya sudah lama dilakukan,” katanya. “Umno dan PAS membayangkan mereka bersedia mengetepikan perbezaan politik antara mereka bagi mengikat kerjasama itu.
“Realiti politik yang berasaskan kaum akan kekal dan peranan politik Islam terus signifikan dalam politik Malaysia.”
Tony berkata, bagaimanapun wujud kemungkinan PAS dan Umno akan mengikat kerjasama longgar dengan pakatan pembangkang Gabungan Bersatu Sabah, “tetapi hanya untuk tujuan mempunyai rakan politik di seberang laut”.
Beliau juga berkata, pakatan politik antara PAS dan Umno itu juga mungkin mendorong parti politik di Sabah dan Sarawak membentuk satu blok Borneo.