
Menurut laman Festival Filem Zurich, “Bruno Manser – Die Stimme Des Regenwaldes” (Bruno Manser – Suara Hutan Hujan) mengenai kehidupan Manser, dan bagaimana dia mengabdikan diri untuk membantu kaum Penan di Sarawak.
Dua orang Penan yang terlibat, Elizabeth Ballang dan Nick Kelesau, akan terbang ke Zurich untuk majlis pembukaan, menurut kenyataan penganjur.
Filem itu akan mula ditayangkan pada 26 Sept.
Diarahkan oleh Niklaus Hilber, ramai pelakon tambahan berketurunan Penan digunakan dalam filem itu, dan bercakap dalam bahasa sendiri. Filem ini dikatakan terbitan Swiss yang terbesar dalam beberapa tahun ini dengan bajet enam juta Swiss francs.
“Hampir 20 tahun selepas kehilangan, kisah Bruno Manser amat relevan sekarang ini.
“Ketika hutan Amazon terbakar dan globalisasi dengan nafsunya terhadap sumber asli menjadikan perlindungan hutan lagi mendesak, kita mengingati seorang lelaki yang mewakili penentangan terhadap pembasmian hutan sepanjang 80-an dan 90-an,” katanya.
Manser, salah seorang pengasas Bruno Manser Fund, tinggal bersama masyarakat Penan di Sarawak dari 1984 hingga 1990.
Beliau membantu komuniti itu menentang pembalak.
Manser hilang dan dianggap meninggal dunia, sejak perjalanan terakhirnya ke Sarawak pada Mei 2000.