
Ketua Pemuda PSM Nik Aziz Afiq memaklumkan Khalid, yang disiasat bawah Akta Hasutan berkaitan catatan di Twitter, dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara selepas polis tidak meneruskan cadangan untuk mereman beliau, sebaliknya hanya mengambil keterangan bagi membantu siasatan.
PSM menegaskan parti itu sentiasa sedia bekerjasama dengan siasatan polis dan menyifatkan penahanan ahlinya sebagai merugikan masa dan sumber pihak berkuasa.
“Kami ucapkan terima kasih atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong yang segera respon tentang isu ini bagi meredakan salah faham yang berlaku. Jutaan terima kasih juga buat semua rakan-rakan yang bersolidariti sejak malam semalam,” kata Nik Aziz dalam kenyataan.
PSM mengulangi tuntutannya kepada kerajaan agar memansuhkan Akta Hasutan, mengatakan mereka sedih ianya masih berterusan di Malaysia Baru.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan selepas menerima satu laporan berhubung penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong di Twitter.
Laporan itu dipercayai dibuat selepas Tunku Azizah menyahaktif akaun Twitternya semalam.
Penutupan akaun itu menjadi perbualan di media sosial dan sesetengah pengguna percaya ia ada kaitan dengan beberapa komen yang didakwa menghina Tunku Azizah.
Bagaimanapun Tunku Azizah dilaporkan berkata, akaun Twitter itu ditutup atas sebab peribadi dan tidak membaca atau sedar tentang komen tersebut.