
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.
“Terengganu dia ada minyak,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 selama 3 jam di Perdana Putra di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mahathir berkata mesyuarat hari ini akan dijadikan kertas Kabinet untuk dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet mingguan akan datang.
Beliau berkata kerajaan mengakui adanya jurang kekayaan antara negeri.
“Ada negeri yang amat kaya, ada negeri amat miskin. Kita harus kurangkan jurang antara negeri yang kaya dengan yang miskin ini.
“Tumpuan akan diberikan kepada negeri yang miskin, jika dapat kita ditingkatkan pendapatan mereka,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail serta menteri Kabinet lain.
Beliau berkata di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama kerajaan juga akan memberi perhatian kepada jurang yang wujud antara bandar dan luar bandar serta antara kumpulan dalam masyarakat.
Katanya, disebabkan itu satu program perlu diadakan bagi meningkatkan pendapatan luar bandar.
“Bandar biasanya lebih kaya daripada luar bandar,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan juga mendapati ada golongan rakyat yang terlalu miskin berbanding golongan yang kaya.
“Yang kaya, umpamanya sekarang ini, eksekutif dalam syarikat boleh dapat gaji sampai 2 hingga 3 juta (ringgit) setahun sedangkan pekerja di bawah tak dapat. Jauh sangat beza. Kita perlu tingkatkan pendapatan mereka.
“Bukan hanya naikkan gaji, tetapi tingkatkan keupayaan pekerja supaya mereka akan jadi lebih produktif. Jika berada tempat sama, atau beri latihan supaya mereka mempunyai kebolehan lebih dan kerja lebih,” katanya.
Mahathir berkata, kerajaan juga akan menekankan peranan penting Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan keupayaan pekerja.