
Minuman kopi kini menjadi trend kebanyakan masyarakat dan mulai menjadi popular.
Banyak sebab mengapa minuman ini menjadi kegemaran untuk dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Antara kebaikannya, minuman kopi ini bermanfaat dalam memberi tenaga dan kesegaran kepada peminumnya.
Di samping itu, kajian ahli kesihatan turut menunjukkan keupayaaan kopi untuk mengurangkan risiko penyakit seperti barah, jantung, kencing manis dan parkinson.
Namun amalan pengambilan kopi yang salah juga boleh menyumbang kepada pelbagai keburukan.
Antaranya, pengambilan kopi yang berlebihan boleh menyebabkan peminumnya terdedah kepada ketagihan.
Kafein, bahan yang terdapat di dalam kopi boleh diklasifikasikan sebagai dadah jenis sederhana.
Oleh itu, pengambilan yang tidak terkawal akan menyebabkan tubuh badan kita bergantung kepada bahan tersebut.
Namun minuman kopi ini mempunyai cara yang betul supaya ia tidak menjejaskan tubuh badan anda.
1. Jangan terus minum selepas bangun tidur
Setiap manusia mempunyai jam biologikal semula jadi di dalam sistem tubuh masing-masing.
Jam biologikal tubuh manusia berperanan dalam mengawal pengeluaran hormon dalam badan manusia.
Kortisol ataupun nama lainnya hormon stres berperanan untuk meningkatkan tahap waspada dalam diri manusia.
Menurut kajian ahli perubatan, tubuh manusia secara semula jadinya menunjukkan peningkatan hormon kortisol sebanyak 50 peratus apabila bangun daripada tidur.
Jadi, adakah kehadiran kafein ketika peningkatan jumlah kortisol di dalam badan akan memberikan hasil yang lebih baik untuk tubuh kita?
Jawapannya, tidak.
Kehadiran kortisol di dalam tubuh orang yang sedang minum kopi hanya akan melenyapkan kebaikan yang dibawa oleh kafein.
Hal ini kerana hormon kortisol secara semula jadi berperanan dalam merangsang kesegaran tubuh badan kita.
Apa yang lebih teruk, pengambilan kopi ketika waktu itu turut menambahkan kebergantungan tubuh kita kepada kafein yang seterusnya menyumbang kepada masalah ketagihan kopi.
Oleh itu, ahli perubatan menyarankan supaya pengambilan kopi dilakukan di luar waktu penghasilan hormon kortisol ataupun sejam selepas bangun tidur.
2. Ambil kopi sebelum pukul 2 petang
Kajian daripada Pusat Kajian Gangguan Tidur, Hospital Henry Ford Michigan dan Kolej Perubatan Wayne State menunjukkan pengambilan kopi enam jam sebelum waktu tidur akan mengurangkan waktu tidur kepada lebih satu jam.
Dalam kajian yang sama turut menemukan yang pengambilan kopi enam jam sebelum tidur akan memberikan kesan yang signifikan terhadap waktu dan kualiti tidur seseorang.
Kesimpulannya, pengambilan kopi memberikan pelbagai manfaat buat tubuh badan manusia dalam menjalani gaya hidup yang sihat dan produktif.
Namun, amalan minum kopi yang betul amat penting bagi mengelakkan kesan sampingan yang akan mengganggu tubuh dan mental kita.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi?
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]