
“Saya tunggu presiden panggil saya untuk berjumpa,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Tahunan Bandar Pintar Asia ke-5 hari ini.
“Hari tu dia (Anwar) kata sedia berjumpa, jadi sudah tentu kita tunggu nak jumpa dialah. Kita nak bercakap dengan presiden kami dan orang yang dipilih (sebagai pemimpin, bukannya dilantik).”
Pada 28 Ogos lalu, Zuraida dilaporkan berkata, beliau dan beberapa pemimpin tidak menghadiri mesyuarat parti kerana permintaan mereka tidak dilayan Anwar.
Katanya, 3 surat dihantar kepada Anwar untuk beliau dan pemimpin lain mengadakan pertemuan, tetapi hanya surat pertama dibalas dengan menyatakan Anwar ke Makkah.
“Permintaan itu untuk kita berdamai dan selesaikan beberapa perkara…ia pertemuan presiden bersama anggota Majlis Pimpinan Pusat yang dipilih dalam pemilihan parti.”
Dua hari kemudian, Anwar dilaporkan berkata, pihaknya sudah membalas surat pertama, manakala 2 lagi surat akan dibalas Saifuddin.
Saifuddin pula dilaporkan menolak permintaan Zuraida untuk mengadakan mesyuarat perdamaian bagi membincangkan isu dalaman PKR.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas isu perpecahan Pakatan Harapan di Johor seperti didedahkan bekas pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim, Zuraida bagaimanapun berkata, tiada perpecahan di Selangor.
“PH Selangor ada mesyuarat dipengerusikan menteri besar Selangor.”
Terdahulu, Hassan hari ini mendedahkan kerjasama PH Johor tidak sekuat ketika gabungan itu cuba menumbangkan Barisan Nasional negeri dan 4 parti komponennya tidak lagi mengadakan mesyuarat serta konvensyen bersama.