
Di sebalik suasana pilu yang masih dirasai itu, balu Allahyarham, Nour Shafinar Harun, 31, dan keluarganya menerima berita “menggembirakan” dan “sedikit terkilan”.
Nour Shafinar baru sahaja mengetahui dirinya sedang hamil selepas 2 hari arwah meninggal dunia.
Bagi Nour Shafinar, pemergian pegawai Komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas itu telah meninggalkan “pengganti” kepada dirinya yang disahkan hamil satu bulan.
Menurut laporan Sinar Harian, meskipun gembira dengan kehamilan itu, dia sedikit terkilan kerana tidak sempat berkongsi detik-detik indah itu bersama suaminya.
“Saya pun tak sedar perubahan diri sebab saya rasa biasa saja, rakan saya yang nampak bila tengok perubahan fizikal terutama badan dah naik.
“Saya kuatkan hati dan cuba lakukan ‘test’ menggunakan alat ujian kehamilan… Alhamdulillah sungguh benar saya mengandung, tetapi arwah tidak tahu,” katanya sebak.
Jelasnya, dia bersama 3 anak, Muhammad Irfan Daniel, 10; Nur Adriana, 6, dan Izzul Zakly berusia 6 bulan, tetap dengan keputusan untuk berpindah ke Ipoh seperti mana amanat terakhir diminta Allahyarham.
“Permintaannya untuk kami balik ke Perak saya tunaikan, kami hanya ada keluarga, untuk diri saya dan anak-anak akan datang saya tak tahu lagi caranya bagaimana,” katanya.