Trump: Rundingan damai dengan Taliban ‘sudah berakhir’

Trump: Rundingan damai dengan Taliban ‘sudah berakhir’

Donald Trump sebelum ini membatalkan dialog dengan Taliban selepas seorang askar Amerika terbunuh dalam serangan pengebom berani mati di Kabul.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan perundingan damai dengan pemimpin Taliban sudah berakhir, sementara jeneral yang bertanggungjawab menegaskan tenteranya kemungkinan akan meningkatkan operasi di Afghanistan untuk menghadapi peningkatan serangan militan.

Trump membatalkan dialog dengan Taliban yang dirancang untuk diadakan di pusat istirahat presiden Camp David, Maryland pada hujung minggu selepas seorang askar Amerika terbunuh dalam serangan pengebom berani mati di Kabul minggu lalu.

“Perundingan sudah berakhir. Ia sudah berakhir. Pada saya ia sudah berakhir,” kata Trump kepada pemberita pada Isnin ketika ditanya mengenai status perundingan itu ketika beliau meninggalkan White House dalam perjalanan ke North Carolina.

Sebelum ini, Trump meletakkan harapan agar dapat mengadakan perbincangan beberapa bulan dengan Taliban, yang mengawal bahagian-bahagian besar di Afghanistan, dengan pertemuan rahsia di Camp David yang akan merangkumi penyertaan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani dan bagi mendapatkan persetujuan mengenai rancangan menarik keluar tentera AS, sekali gus mengakhiri perang paling lama Amerika.

Taliban memberi amaran keputusan Trump membatalkan rundingan damai Afghanistan akan membawa lebih banyak kematian rakyat Amerika.

AS mahu mengekalkan tekanan ketenteraan terhadap militan itu di sebalik usaha menjalin kesepakatan bagi mengakhiri perang hampir 20 tahun.

Taliban mengeluarkan kenyataan keras itu 2 hari lalu selepas Trump tanpa diduga membatalkan rundingan sulit yang dirancang untuk diadakan pada Ahad.

Trump membatalkan perundingan pada Sabtu selepas Taliban mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di Kabul minggu lepas, yang meragut seorang askar AS dan 11 yang lain.

“Ini akan membawa lebih banyak kerugian kepada AS,” kata beliau.

Kini ada 14,000 askar AS dan beribu-ribu tentera negara NATO yang lain di Afghanistan, 18 tahun selepas pencerobohan oleh pakatan diketuai oleh Washington susulan peristiwa 11 September 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.