
Jabatan Siasatan Jenayah Selangor memaklumkan Farhash menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada 10 pagi tadi dan dibebaskan dengan jaminan polis lebih kurang 5 petang.
“Suspek telah memberikan kerjasama kepada polis dan sedang dalam tindakan melengkapkan siasatan,” kata ketuanya, Fadzil Ahmat dalam kenyataan.
Dalam pada itu, JSJ Selangor berkata ujian saringan awal air kencing juga dibuat ke atas Farhash dan didapati “negatif dari sebarang jenis dadah”.
“Kes akan dirujuk kepada pihak pengarah pendakwaan negeri untuk arahan lanjut,” katanya.
Polis mencari Farhash sejak beberapa hari lalu susulan pergaduhan melibatkan belasan orang di sebuah kompleks sukan di Taman Dagang Permai pada 31 Ogos.
Siasatan menyaksikan 5 orang ditangkap, berusia antara 22 dan 38, termasuk pengadu untuk disoal.
Walaupun pengadu menarik balik laporan polis dibuatnya pada 5 September, polis masih mahu mengambil keterangan Farhash dan juga akan mengambil keterangan pengadu kerana menarik balik laporannya.