Najib: Kempen BMF kencang selepas komen PM, Guan Eng

Najib: Kempen BMF kencang selepas komen PM, Guan Eng

Najib Razak berkata PH dan DAP memainkan peranan paling penting mempromosikan kempen BMF.

Gambar Bernama.
PETALING JAYA:
Najib Razak menarik perhatian kepada lonjakan keahlian kumpulan Facebook berkaitan kempen utamakan barangan orang Islam (BMF), mengatakan ia meningkat kepada jutaan orang selepas komen Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Bekas perdana menteri itu berkata, jumlah peserta kumpulan itu, selepas kempen dimulakan pada Disember tahun lepas, hanya 10,000 sahaja sehinggalah perdana menteri menimbulkan isu BMF pada 30 Ogos 2019.

“Dengan itu, isu ini menjadi isu nasional dan jumlah peserta kumpulan melonjak naik ke 100,000 pada malam itu juga,” katanya di Facebook semalam.

Ulasan veteran DAP, Kit Siang mengenai kempen BMF pada 31 Ogos menyaksikan jumlah peserta bertambah beberapa kali ganda kepada 500,000 orang, dan menjadi 1 juta orang tiga hari kemudian apabila Menteri Kewangan Guan Eng “membidas PAS dan Umno tanpa sebab”.

Melihat kepada angka-angka berkenaan, Najib menyimpulkan Pakatan Harapan dan DAP memainkan peranan paling penting mempromosikan kempen yang menjadi kontroversi itu.

“Saya diberitahu jumlah ‘member’ dalam kumpulan itu sudah cecah 1.6 juta orang hari ini,” katanya.

“Tapi PH ada hati nak salahkan Umno, PAS, MCA dan MIC pula,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.