Pendaki warga Belgium cedera diusung turun dari puncak Kinabalu

Pendaki warga Belgium cedera diusung turun dari puncak Kinabalu

Warga Belgium, Vanden Broere Elien, dibawa turun menggunakan pengusung oleh pasukan Mosar dan bomba.

Anggota penyelamat mengangkat mangsa yang tercedera di puncak Gunung Kinabalu ke Timpohon Gate sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seorang pendaki warga Belgium terpaksa diusung turun dari puncak Gunung Kinabalu selepas terjatuh dan mengalami kecederaan di paha ketika berada di puncak gunung berkenaan semalam.

Pendaki wanita itu, Vanden Broere Elien, 23, dibawa turun menggunakan pengusung oleh pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) dan anggota bomba.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan menyatakan balai bomba Ranau menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi.

“Dua anggota bersama 8 anggota Mosar pergi ke lokasi dan operasi tamat pukul 2.45 petang,” demikian menurut kenyataan itu.

Anggota penyelamat mengangkat mangsa dengan kaedah “robinson stretcher” sehingga ke Timpohon Gate dan mangsa kemudian diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.