Naib canselor sokong gabung 2 universiti Terengganu

Naib canselor sokong gabung 2 universiti Terengganu

Menurut sumber pengurusan tertinggi 2 UniSZA dan UMT telah dimaklumkan tentang inisiatif penggabungan itu oleh ketua pengarah pendidikan baru-baru ini.

Naib Canselor UniSZA Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penggabungan akan memberi manfaat kepada kedua-dua universiti dan membolehkan institusi baru yang terbentuk mencapai kemajuan lebih tinggi pada kos lebih rendah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Naib canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang mungkin digabungkan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyuarakan sokongan terhadap langkah itu dengan berkata, ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi tersebut.

Bercakap kepada FMT, Naib Canselor UniSZA Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, keputusan berhubung penggabungan itu terletak di tangan kerajaan, tetapi ia bukanlah idea yang baru sama sekali.

“Kerajaan sebelum ini telah pun berfikir tentangnya, tetapi ia tidak diteruskan. Saya percaya pentadbiran sekarang akan mengkaji pro dan kontra penggabungan itu sebelum membuat apa-apa keputusan.”

Terdahulu minggu ini, sumber memberitahu FMT bahawa kerajaan sedang mengkaji penggabungan UMT dan UniSZA dan keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

FMT telah menghubungi Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan komen.

Sumber berkata, pengurusan tertinggi 2 universiti berkenaan telah dimaklumkan tentang inisiatif itu oleh ketua pengarah pendidikan tinggi baru-baru ini.

“Perbelanjaannya tinggi, terutamanya yang melibatkan gaji pengurusan tertinggi, termasuk naib canselor, pendaftar dan bendahari,” kata sumber ketika itu.

Hassan berkata, penggabungan akan memberi manfaat kepada kedua-dua universiti dan membolehkan institusi baru yang terbentuk mencapai kemajuan lebih tinggi pada kos lebih rendah.

“Ia seumpama 2 batalion tentera dengan 2 komnandan yang berlainan. Kini ia menjadi satu briged di bawah seorang brigedier jeneral.

“Briged adalah lebih kuat dan berkuasa daripada batalion. Ia adalah analogi mudah. Seorang profesor adalah bersamaan dengan seorang jeneral, jadi anda boleh bayangkan bagaimanakah rupanya 2 universiti ini selepas ia digabungkan.”

Menurut Hassan lagi, penggabungan itu juga akan memperkukuh pelbagai fakulti, pusat kecemerlangan dan jabatan yang ada.

Bagaimanapun katanya, isu paling penting berhubung penggabungan ialah ialah aspek pelaksanaannya dan kebajikan kakitangan kedua-dua universiti terbabit.

“Ia bukan sahaja berkaitan bajet dan penjimatan kos,” kata beliau.

Semalam persatuan pelajar UMT menuntut dilibatkan sama dalam perbincangan mengenai kemungkinan penggabungan itu, selain menyuarakan kebimbangan tentang perbezaan sistem yang wujud antara 2 universiti berkenaan.

Mereka tertanya-tanya tentang sistem mana yang akan diguna pakai sekiranya penggabungan itu benar-benar berlaku serta kesannya ke atas pelajar dan 2 universiti terlibat secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.