Kerajaan jamin kadar baru tarif air tidak beban pengguna

Kerajaan jamin kadar baru tarif air tidak beban pengguna

Pengumuman kadar baru tarif air akan dibuat hujung tahun ini setelah dipersetujui oleh Kabinet.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan faham situasi rakyat, tetapi pada masa sama tarif air sudah lama tidak berubah dan industri berkenaan memerlukan modal operasi yang besar.
KUALA LANGAT:
Kadar baru tarif air bagi semua negeri mungkin diumumkan hujung tahun ini dan dijamin tidak akan membebankan pengguna.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk dibincangkan.

“Setelah Jemaah Menteri bersetuju dengan kadar baru ini baru saya akan umumkan kenaikan bagi setiap negeri, kemungkinan pada hujung tahun ini, tetapi saya tidak boleh janji apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan Larian Keamanan 2019 di Dataran Pantai Morib di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM), Lok Chee Khong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasnul Baharuddin.

Seramai 1,500 peserta menyertai larian berkenaan yang pertama kali diadakan di luar Klang sejak ia dianjurkan oleh SGM pada 2005.

Ditanya mengenai peratusan kenaikan tarif air itu, Dr Xavier berkata, pihaknya akan memastikan kenaikan itu kelak tidak membebankan rakyat.

“Kita faham situasi rakyat, tetapi pada masa sama yang rakyat perlu faham bahawa industri air sudah lama tidak ada perubahan dan ia memerlukan modal operasi yang besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.