
Kapten Farizal Marlias bersama Shahrul Saad dan Syafiq Ahmad, serta Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam melihat keadaan Mohd Zulrani Helmi Mohd Zakri di rumahnya di ibu negara.
Zulrani patah tangan kiri dalam rusuhan yang tercetus sejurus tamat perlawanan pertama Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno, di mana Malaysia menundukkan Garuda 3-2 di hadapan lebih 50,000 penyokongnya.
“(Ini) sebagai menghargai kesungguhan dan semangat beliau yang sanggup bersama-sama penyokong lain terbang ke Jakarta bagi memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya,” kata FAM mengenai ziarah hari ini di Facebook.
Selain sumbangan, Zulrani turut diberi satu tiket perlawanan menyaksikan Malaysia menentang jaguh Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu pada Selasa.
Malaysia merupakan pesaing tradisi Indonesia, dan kedua-dua negara cuba mendapatkan tempat untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
FAM akan mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) berhubung tindakan ganas penyokong Garuda, kejadian yang mengecewakan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia kerana republik itu sedang melobi untuk menjadi calon tuan rumah Piala Dunia U-20 pada 2021.