
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, pekerja berumur lebih 60 tahun terdedah kepada masalah kesihatan dan ini bermakna syarikat perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk insurans dan bayaran perubatan.
Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, bagi pekerjaan yang memerlukan lebih banyak kekuatan fizikal seperti industri berat dan tapak pembinaan, risiko kecederaan juga lebih tinggi.
Katanya, sekiranya berlaku kemalangan, majikan juga perlu membayar kos perubatan lebih tinggi.
“Kami berterima kasih kepada perdana menteri kerana memahami masalah dihadapi majikan.
“Majikan berasa lega kerana umur bersara wajib tidak ditetapkan pada paras 65 tahun,” katanya.
Awal minggu ini Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak ada keperluan untuk meningkatkan umur bersara wajib daripada 60 kepada 65 tahun.
Katanya, beliau bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa umur bersara sekarang patut dikekalkan untuk tidak menghalang peluang pekerjaan generasi muda.
Berhubung kebimbangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa pekerja, hatta pada umur 60 tahun, mungkin tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencukupi, Shamsuddin berkata, kerajaan perlu menimbangkan kemungkinan mengehadkan pengeluaran kerana “KWSP adalah dana caruman untuk masa tua”.
“Jika pencarum mengeluarkan simpanan mereka sebelum mencapai umur bersara wajib 60 tahun, ia akan memberi kesan ke atas jumlah simpanan yang akan dimilikinya,” kata beliau.
Shamsuddin berkata, walaupun beliau tidak bersetuju dengan umur persaraan lebih tinggi, namun kerajaan boleh memperkenalkan skim penggajian semula seperti dilaksanakan di Singapura.
Beliau juga berkata, syarikat harus diberikan pilihan untuk menaikkan umur bersara pekerja mereka secara sukarela.
Singapura merancang meningkatkan umur bersara daripada 62 kepada 63 menjelang 2022, dan kepada 65 pada 2030.
Ia juga meningkatkan umur penggajian semula daripada 65 kepada 67 tahun bagi membolehkan warga emas terus bekerja dan menyokong kehidupan mereka.
Majikan dikehendaki menawarkan penggajian semula kepada pekerja yang mencapai umur bersara wajib 62 tahun.
Skim tersebut menyerupai cadangan seorang bekas guru, yang mahu dikenali sebagai Ron, supaya dipertimbangkan oleh Putrajaya.
Katanya, walaupun beliau memperoleh manfaat sebagai bekas seorang pegawai kerajaan, namun “wang tambahan adalah sesuatu yang sentiasa dialu-alukan”.
Sarah, 60, yang kini bekerja di Sunway berkata, beliau akan terus bekerja selagi mampu menyumbang.
“Saya mahu menghabiskan masa luang saya dengan bekerja bagi membolehkan saya makan angin dan membeli barang untuk cucu,” katanya.
Katanya berkata, beliau tidak perlu menggunakan simpanan jika terus bekerja kerana ia adalah “untuk masa susah”.
Berhubung peluang untuk golongan muda, Sarah berkata, “orang muda sekarang terlalu ghairah memanjat tangga korporat, tetapi tidak berminat membina kemahiran sosial mereka.”
Ron bagimanapun bersetuju bahawa peningkatan umur bersara akan menyempitkan peluang kenaikan pangkat orang muda.
“Oleh sebab itu orang muda tidak bersetuju dengan cadangan tersebut,” katanya.