
Perdana Menteri berkata tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.
Beliau bagaimanapun menarik perhatian kepada bayaran pencen yang ketika ini sudah menjadi begitu besar.
“Sekarang ini kita (juga) bagi pencen kepada isteri dan anak (pesara kerajaan yang telah meninggal dunia). Ini semua menjadi beban kepada negara. Jadi kita mungkin tak mampulah. Itu yang menjadi masalah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di akhir lawatan kerja beliau hari ini.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah berkata lantikan baru dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.
Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.
Mahathir menjangkakan nilai bebanan pencen akan terus meningkat.
“Kita nak cari jalan supaya kerajaan mampu bayar dan pegawai (penjawat awam) tidak rugi,” katanya.
Mengenai penulisan di blog beliau mengenai orang Melayu malas bekerja, perdana menteri berkata ia ditujukan kepada golongan yang malas.
“Yang sanggup bekerja ada, saya tidak kata kepada orang yang sanggup,” katanya.
Bagaimanapun, Mahathir mahu rakyat melihat kepada semangat bekerja orang Jepun yang sanggup melakukan semua pekerjaan dan tidak menggunakan tenaga kerja asing yang ramai, mengurangkan pengaliran keluar wang yang dihantar pulang pekerja asing.
“Di Jepun mereka sendiri sapu jalan dan mereka jaga kebersihan negara mereka. Mereka tidak kerahkan tenaga kerja asing dan sebab itu mereka maju dan kaya,” katanya.
Sementara itu, Mahathir menegaskan tiada permintaan ekstradisi penceramah bebas Zakir Naik daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika pertemuan mereka.
“Dia menyebut nama sahaja tapi tak ulas. Dia cakap sekali je tentang Zakir Naik,” katanya.
Sebaliknya, katanya tumpuan Modi sepanjang perjumpaan tersebut adalah menerangkan situasi di Jammu-Kashmir.
Perdana menteri dan Modi mengadakan pertemuan dua hala ketika menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) Ke-5 di Vladivostok, Rusia baru-baru ini.
Sebelum ini media India melaporkan Modi meminta Mahathir mengambil langkah untuk mengekstradisi Naik yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.
Mahathir menamatkan lawatan kerja 3 hari ke Kyoto hari ini.