Buku himpun fikiran PM diterjemah ke bahasa Jepun untuk rujukan golongan muda

Buku himpun fikiran PM diterjemah ke bahasa Jepun untuk rujukan golongan muda

Buku 'Apa Habaq Orang Muda?' diterbitkan pada tahun 2016.

Penulis Radzi Tajudin (kanan) bersama-sama pengarah dan pengurus besar Kinokuniya Masaya Yumoto (2 dari kanan), pengurus besar ITBM Sakri Abdullah dan Dr Mahathir pada majlis pelancaran terjemahan bahasa Jepun buku ‘Apa Habaq Orang Muda?’ hari ini. (Gambar ITBM)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan buku “Apa Habaq Orang Muda?” terjemahan bahasa Jepun sempena lawatan kerja 3 hari beliau ke Jepun, hari ini.

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam kenyataan berkata, buku itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat Jepun, khususnya golongan muda untuk memahami dan mendalami pemikiran Mahathir sebagai tokoh Malaysia yang disegani.

“(Mahathir) dihormati melalui pemikiran dan kepimpinan beliau menerajui negara.

“Selari dengan tujuan tersebut, buku ‘Apa Habaq Orang Muda? edisi bahasa Jepun ini dijangka akan dipasarkan secara meluas di 70 buah rangkaian kedai buku Kinokuniya di seluruh Jepun pada penghujung September 2019 ini,” kata kenyataan itu.

Menurut ITMB, buku “Apa Habaq Orang Muda?” tulisan bersama Chedet (nama pena Mahathir) dan Mat Rodi (atau nama sebenarnya Radzi Tajuddin) yang pertama kali diterbitkan dalam bahasa Melayu pada 2016 merupakan koleksi ungkapan menyengat, bersemangat dan menarik daripada himpunan teks ucapan, temu bual dan penulisan Mahathir sebelum ini.

Buku tersebut memuatkan pesanan, pengajaran dan peringatan beliau mengenai demokrasi, perpaduan, pendidikan, budaya, perjuangan dan sistem nilai yang harus dilihat dan dihadamkan oleh generasi muda yang merupakan golongan pelapis kepada tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

Buku ini turut mengandungi komentar dan ulasan dari sudut pandang anak muda melalui penulisan Mat Rodi terhadap apa yang diungkapkan melalui pemikiran, pandangan dan semangat beliau.

ITBM berkata, pihaknya komited untuk memartabatkan usaha menterjemah karya bahasa Melayu kepada bahasa-bahasa asing dan sebaliknya.

“Usaha penterjemahan dan pemasaran buku ke peringkat antarabangsa merupakan salah satu bentuk apresiasi karya Malaysia.

“Sebagai sebuah badan penerjemahan, ITBM sentiasa komited meneruskan usaha untuk memastikan gerakan penerjemahan bergiat lebih aktif,” kata kenyataan itu lagi.

Buku terjemahan edisi bahasa Jepun “Apa Habaq Orang Muda?” diterbitkan oleh ITBM, DuBook Press dan Persatuan Jepun-Malaysia (JMA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.