
“Pembandaran adalah masa depan kemanusiaan,” kata Hew Gill, ketua Jabatan Psikologi Universiti Sunway, pada satu perbincangan panel mengenai penjagaan kesihatan inklusif dan pendidikan berkualiti.
Beliau berkata, kos perkhidmatan di kawasan kurang penduduk adalah lebih tinggi berbanding kos di bandar raya padat penduduk.
“Jika anda tinggal dalam komuniti desa, anda akan mati lebih cepat dan lebih muda kerana kurangnya penjagaan kesihatan terbaik untuk jantung anda (misalnya),” kata beliau.
“Jika anda diserang penyakit jantung di kawasan luar bandar, perjalanan dengan ambulans itu sendiri akan membunuh 50% daripada pesakit.
“Jika serangan berlaku di tengah-tengah Kuala Lumpur, maka kadar selamatnya ialah 95% kerana terdapat sebuah hospital ‘hanya di hujung jalan’.”
Beliau menggesa digubal program pembandaran yang sensitif terhadap budaya tempatan.
Walaupun mengakui ia sukar, namun beliau menegaskan ia merupakan pilihan terbaik untuk melangkah ke depan.
“Bandar raya merupakan ciptaan manusia yang menakjubkan,” katanya. “Buktinya kita mencipta pertanian bagi menyokong kehidupan di bandar, bukan sebaliknya. Bandar raya muncul dahulu, pertanian datang kemudian.”
Beliau mengambil maklum bahawa gaji purata di Lembah Klang ialah RM4,500 sebulan berbanding RM2,200 di tempat lain di Malaysia, dan menurutnya, ia merupakan salah satu manfaat tinggal dalam persekitaran bandar.
Hew berkata, masa depan ekonomi negara bergantung pada kemampuannya untuk bersikap inventif dan kreatif.
Katanya, pelabur dari negara Barat kini memindahkan semula kegiatan pengilangan dan perkhidmatan mereka ke negara asal kerana kelebihan kos beroperasi di Malaysia semakin menguncup.
Beliau berkata, pendidikan akademik dan vokasional adalah sama penting dalam kebanyakan masyarakat kerana masing-masing mengajar kebolehan berfikir dan juga mengajar kebolehan untuk mengaplikasi kemampuan berfikir itu.
Katanya, James Watt misalnya disebut-sebut sebagai pencipta enjip wap, sedangkan hakikatnya beliau hanya memajukan ciptaan orang lain.
“Beliau sangat terlatih dan mahir dalam subjek bahasa. Justeru beliau berjaya memajukan enjin wap kerana tahu bagaimana untuk berfikir dan bersikap kreatif.”
Baru-baru ini, Persekutuan Majikan Malaysia berkata, Malaysia tidak bersedia untuk berdepan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), selain mengingatkan bahawa negara tidak lagi akan mempunyai kelebihan kompetitif sekiranya ia tidak segera menguasainya.
Kajian terbaru oleh sebuah firma penyelidikan mendapati ramai golongan muda bandar di Malaysia gagal menghuraikan IR 4.0 dengan baik.