Kumpulan Hindu kecewa peguam negara tak dakwa pendakwah Perlis

Kumpulan Hindu kecewa peguam negara tak dakwa pendakwah Perlis

Penasihat Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy berkata, keputusan itu boleh memberi gambaran salah terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara mengenai kaedah berkhutbah yang merendah-rendahkan agama lain.

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berkata, keputusan Jabatan Peguam Negara membuktikan beliau tidak bersalah.
PETALING JAYA:
Aktivis Hindu, Arun Dorasamy menggesa Jabatan Peguam Negara mengkaji semula keputusan tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah Perlis, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu kerana tindakan itu boleh menjejaskan integriti jabatan berkenaan.

Arun yang kecewa dengan keputusan itu berkata, jika perlu, perancangan boleh dibuat untuk menggantikan timbalan pendakwa raya untuk mendakwa pendakwah itu atas tuduhan menghina agama lain.

Dalam sepucuk surat kepada kumpulan Hindu Agamam Ani Malaysia bertarikh 5 Julai lalu, Peguamcara Negara III ketika itu, Hanafiah Zakaria berkata, kertas siasatan mengenai kes Zamri sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara yang memutuskan tidak akan mendakwanya.

Arun yang merupakan penasihat persatuan itu berkata, kumpulannya terkejut dengan keputusan berkenaan dan mempertikaikan kenapa surat itu hanya diserahkan kepada mereka 2 bulan kemudian.

“Surat itu hanya diberikan kepada saya semalam dalam satu majlis penyerahan memorandum di Jabatan Peguam Negara.

“Kami percaya ia dilewatkan sehingga mereka (Jabatan Peguam Negara) didesak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keputusan itu boleh memberi gambaran salah terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara mengenai kaedah berkhutbah dengan merendah-rendahkan agama lain.

Arun berkata, kumpulannya sudah menghantar sepucuk surat untuk mendapatkan penjelasan Jabatan Peguam Negara.

Ia juga sedang menentukan sama ada mahu memfailkan saman terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas, membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan ketua polis negara, serta jalan penyelesaian terakhir ialah mengadakan piket di Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Zamri yang bersyukur dengan keputusan Jabatan Peguam Negara tidak mendakwanya, berkata langkah itu membuktikan beliau tidak bersalah.

Katanya, kumpulan Hindu “yang menghina saya seolah-olah saya menghina agama mereka” perlu menarik balik kenyataan mereka terhadapnya.

Zamri menjadi tumpuan media selepas beliau didakwa merujuk kepercayaan Hindu kepada 330 juta tuhan dalam ceramah pada Disember lalu.

Dalam satu klip video viral, katanya, beliau meninggalkan agama Hindu kerana tidak boleh menerima penyembahan objek dan kesal tidak dapat menukar agama ahli keluarga serta kawan rapatnya kepada Islam.

Zamri ditahan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menggunakan agama untuk mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci atau niat jahat serta memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan, serta menyalahgunakan perkhidmatan internet di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, jumlah laporan polis yang dibuat terhadap seseorang bukan penentu seseorang itu bersalah atau sebaliknya.

“Jika ada sejuta laporan dibuat terhadap seorang individu, beliau masih tidak bersalah selagi tidak melanggar sebarang undang-undang.”

Zamri menggesa penganut Hindu “memperbaiki kemahiran komunikasi mereka dan memahami bahasa Melayu supaya mereka tidak menyimpang daripada pemahaman subjek sebenar”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.