India isytihar 4 pemimpin, 2 kumpulan sebagai pengganas

India isytihar 4 pemimpin, 2 kumpulan sebagai pengganas

India mengisytiharkan pemimpin JeM, Masood Azhar, Hafiz Saeed (pemimpin LeT) dan sekutunya di bawah Akta Pencegahan Aktiviti-Aktiviti Haram.

Kerajaan India mengisytiharkan kumpulan dan pemimpin JeM serta LeT di bawah Akta Pencegahan Aktiviti-Aktiviti Haram atau UAPA.
NEW DELHI:
India mengisytiharkan 4 pemimpin dan kumpulan Jaish-e-Mohammad (JeM) dan Lashkar-e-Taiba (LeT) sebagai pengganas di bawah undang-undang antikeganasan baru.

Di bawah pengumuman yang dibuat kelmarin, kerajaan India mengisytiharkan Masood Azhar iaitu pemimpin JeM, Hafiz Saeed (pemimpin LeT) dan timbalannya, Zaki-ur-Rehman Lakhvi serta ketua pergerakan bawah tanah Dawood Ibrahim di bawah Akta Pencegahan Aktiviti-Aktiviti Haram (UAPA).

Keputusan itu diambil kira-kira 1 bulan selepas Parlimen India meluluskan pindaan ke atas UAPA.

Mengikut undang-undang UAPA yang terdahulu, hanya satu kumpulan boleh diisytiharkan sebagai sebuah organisasi pengganas. Bagaimanapun, di bawah pindaan baru, kerajaan boleh membuat pengisytiharan itu terhadap seorang individu.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India berkata: “Fasal (a) subseksyen (1) seksyen 35 Akta tersebut memberi kuasa kepada kerajaan untuk memaklumkan nama seseorang dalam Jadual Keempat Akta, jika beliau dipercayai terlibat dalam keganasan.”

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga menyatakan 5 kes keganasan terhadap Masood Azhar termasuk serangan pada 14 Feb di Pulwama yang menyebabkan 40 anggota Pasukan Polis Rizab Pusat terbunuh.

Dalam pada itu, Bernama memetik laporan agensi berita Turki Anadolu berkata, Amerika Syarikat (AS) menyambut baik tindakan India mengisytihar keempat-empat pemimpin terbabit dan JeM dan LeT sebagai pengganas di bawah undang-undang antikeganasan baru.

“Kami berdiri bersama-sama India dan memuji negara itu kerana memanfaatkan kuasa perundangan yang baru untuk berbuat demikian,” kata Pemangku Pembantu Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Selatan dan Asia Tengah, Alice Wells menerusi Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.