Bekas presiden Zimbabwe Mugabe meninggal dunia

Bekas presiden Zimbabwe Mugabe meninggal dunia

Robert Mugabe yang menerima rawatan sejak April dilaporkan meninggal dunia di Singapura.

Robert Mugabe.
PETALING JAYA:
Bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang dilabel sebagai diktator dan presiden tertua di dunia, meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura pagi ini.

Beliau berusia 95 tahun.

Mendiang memerintah Zimbabwe selama 40 tahun sebelum dipaksa berundur menerusi pemberontakan tentera pada 2017.

Kematian beliau diumumkan oleh Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa menerusi Twitter.

“Dengan amat sedih saya mengumumkan pengasas Zimbabwe dan bekas presiden Robert Mugabe telah meninggal dunia,” kata Mnangagwa sambil menambah, ahli keluarganya termasuk isteri Grace berada di sisi mendiang ketika menghembuskan nafas terakhir.

“Mugabe merupakan ikon pembebasan, seorang pan-Afrika yang mendedikasikan hidupnya untuk pembebasan dan pemberdayaan rakyat (Zimbabwe).

“Sumbangannya terhadap sejarah bangsa dan benua tidak akan dilupakan.”

Mugabe, yang merupakan pemimpin negara pertama selepas Zimbabwe merdeka, menjadi perdana menteri pada 1980 dan kemudiannya sebagai presiden dari 1987 sehingga 2017 apabila terpaksa melepaskan jawatannya.

Mendiang, lahir pada 21 Februari 1924 di Rhodesia ketika itu dan mendapat latihan sebagai seorang guru, dilaporkan menerima rawatan sejak April lalu.

Sebelum ini Mubage dilaporkan uzur sejak beberapa tahun lalu.

Mugabe dipenjara lebih 10 tahun tanpa perbicaraan atas kesalahan mengkritik kerajaan Rhodesia pada 1964.

Semasa di penjara mendiang dipilih sebagai presiden Zimbabwe African National Union (Zanu) yang diasaskan oleh beliau.

Mugabe merupakan satu-satunya pemimpin yang menonjol di kalangan rakyatnya selepas merdeka dan bertekad untuk memerintah Zimbabwe sehingga mati.

Selain kerana kepimpinan diktator, mendiang juga lantang mengkritik negara-negara Barat, terutamanya United Kingdom, di mana Mugabe mengecam bekas penjajah itu sebagai “musuh Zimbabwe”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.