
Pengerusinya, Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, bagi prosiding EMGS yang di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pihaknya mendengar keterangan dan penjelasan daripada Ketua Setiausaha kementerian itu, Mohd Gazali Abas, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Shahinuddin Sharif.
“Jawatankuasa ini diberikan penjelasan mengenai isu EMGS, antaranya tadbir urus korporat, membabitkan baki geran mengurus yang diterima daripada kerajaan berjumlah RM22.13 juta masih tidak digunakan sepenuhnya bagi mencapai tujuan promosi dan pemasaran.
“Selain itu, data mengenai pelajar antarabangsa yang akan tamat belajar atau ditamatkan pengajian tidak dikemas kini dalam Sistem Permohonan Pendaftaran Pelajar (STARS) milik EMGS dan laporan bagi setiap aktiviti promosi dan pemasaran tidak dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah EMGS,” katanya.
Sementara itu, dalam prosiding ke-2 berkaitan pengurusan subsidi LPG yang di bawah Kementerian Kewangan (MOF) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Noraini berkata, pihaknya mendengar keterangan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Siti Zauyah Md Desa mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pengarah JKDM Paddy Abdul Halim.
“Dalam prosiding berkenaan, ahli PAC Parlimen membangkitkan persoalan mengenai wujud kelemahan dalam pengurusan bayaran subsidi gas LPG, kelemahan dalam aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan serta kegagalan syarikat pemborong dan peruncit LPG menyelenggarakan rekod stok dengan lengkap dan teratur.
“Terdapat juga premis pemborong dan peruncit yang tidak mempunyai bukti pernah diperiksa oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.
Noraini berkata, kedua-dua isu itu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1.