Kempen ‘boikot’ produk bukan Islam gambaran garis politik, kata penganalisis

Kempen ‘boikot’ produk bukan Islam gambaran garis politik, kata penganalisis

Kempen 'boikot' terbaru dilihat sebagai manifestasi peningkatan rasa marah dan kecewa orang Melayu terhadap orang bukan Melayu.

Kempen ‘boikot’ terbaru ini menimbulkan kebimbangan akan kesannya ke atas pengusaha bukan Islam dan pekerja Melayu-Islam .
PETALING JAYA:
Kempen boikot bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia, termasuk kempen terbaru terhadap produk atau perkhidmatan bukan Melayu atau bukan Islam yang kini mengisi ruang perbincangan di kedai kopi dan di atas talian.

Kempen sedemikian pernah dilancarkan sebelum ini walaupun kesannya tidak seberapa, jika pun ada.

Namun demikian pada saat kempen terbaru ini menimbulkan kebimbangan akan kesannya ke atas pengusaha bukan Islam dan pekerja Melayu-Islam mereka, kebimbangan lebih mendasar bukanlah kandungan kempen itu sendiri, tetapi masa pelancarannnya dibuat di tengah-tengah perdebatan pelbagai isu yang tampak menguji hubungan antara kaum di negara ini.

Ini termasuklah pengenalan tulisan Jawi dalam silibus subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular dan kehadiran penceramah kontroversi warga India Dr Zakir Naik.

Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan kempen ‘boikot’ terbaru itu sebagai manifestasi peningkatan rasa marah dan kecewa orang Melayu terhadap orang bukan Melayu.

“Ini susulan persepsi bahawa orang bukan Melayu kini mendominasi ruang politik, bukan hanya sekadar politik,” kata pensyarah di Universiti Utara Malaysia itu kepada FMT.

Beliau berkata, kempen berkenaan mungkin tidak akan mendapat sambutan sekiranya pemimpin Pakatan Harapan (PH), terutama daripada DAP, tidak memberi tindak balas “negatif” terhadapnya.

Kamarul berkata, kempen itu mula mendapat perhatian apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membantahnya dan menyifatkannya sebagai tidak berkesan dan hanya akan menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.

Bagaimanapun kata beliau, parti Mahathir sendiri, PPBM, harus berhati-hati dalam menangani kempen itu dan tidak terus menjarakkan sokongan pengundi Melayunya sekiranya ia bersikap terlalu kritikal.

Kumpulan pendesak, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan kempen serupa bagi menyokong perniagaan yang menunaikan kewajipan membayar zakat.

Jurucakap utama PPIM, Nadzim Johan berkata, kempen itu tidak berdasarkan agama atau kaum, tetapi mengakui bahawa ia juga berakar pada ketegangan antara kaum.

Beliau merujuk beberapa isu semasa seperti bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi di sekolah dan kritikan seorang ahli perniagaan terhadap anggota tentera.

Bagaimanapun beliau berkata, PPIM tidak menyokong kempen memboikot syarikat bukan Islam.

“Tidak ada sebab,” katanya kepada FMT. “Kami hanya memboikot syarikat yang menipu dan menindas orang Islam dan rakyat seperti syarikat Yahudi dan mereka yang menghina tentera kita.”

Katanya, jika orang Melayu-Islam boleh diperkuatkan melalui zakat, maka jurang antara mereka dengan orang bukan Melayu boleh dirapatkan dan ini boleh meredakan ketegangan antara kaum.

Nadzim Johan.

“Kempen kami ialah untuk menggalakkan sokongan kepada syarikat yang membayar zakat,” katanya, merujuk kepada cukai harta Islam yang bertujuan membantu golongan miskin.

Nadzim berkata, syarikat yang dimiliki orang bukan Islam juga boleh membayar zakat, sementara ada pula syarikat milik orang Islam yang tidak menunaikan tanggungjawab itu.

Kerajaan membuat kenyataan menolak kempen ‘boikot’ itu dengan berkata, usaha menolak produk keluaran bukan Islam “tidak wajar”.

Dalam pada itu, PAS dengan sedikit isyarat sokongan daripada mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, menekankan keperluan untuk memperkuat kuasa ekonomi orang Islam.

Namun berangkali, realiti kempen ‘boikot’ di Malaysia ialah ia tidak bertahan lama untuk memberi kesan berpanjangan.

Mohideen Abdul Kader.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, kejayaan kempen tersebut bergantung pada adanya pengeluar Islam.

“Banyak pengeluar adalah bukan Islam dan banyak pula yang berjalin-kait, dengan hubungan perniagaan dengan bukan Bumiputera,” kata pemangku preisden CAP Mohideen Abdul Kader.

Katanya, CAP tidak bersetuju dengan kempen sedemikian, dengan menambah bahawa boikot tidak harus dibuat berasaskan garis kaum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.