
Di bawah peraturan yang pertama kali diumumkan pada 2011, setiap naskhah Al-Quran dalam teks bahasa Arab yang asal mesti menggunakan pelekat hologram yang dibeli penerbit dengan harga RM1 setiap satu, sebagai bukti teks tersebut telah disemak oleh panel yang dilantik kementerian tersebut.
Berikutan bantahan pada 2017, KDN mengurangkan harga hologram kepada 50 sen, tetapi penerbit berkata ia masih kos tambahan bagi pengeluaran Al-Quran, yang sudah tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat.
Ia termasuk keperluan mengikuti format standard Quran tertentu yang sebahagian besarnya berasaskan percetakan Al-Quran yang dimiliki kerajaan Arab Saudi, dan mengemukakan salinan asal pruf akhir oleh panel pakar yang dilantik KDN untuk bayaran.
Pada 2017, “yuran bacaan pruf” meningkat sebanyak 5 kali dari RM300 kepada RM1,500.
Mereka yang gagal mengemukakan salinan asal pruf akhir boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Percetakan Teks Al-Quran, yang membawa denda RM10,000, penjara 3 tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini, perakuan betul pruf akhir dicop di halaman Al-Quran untuk menunjukkan salinan asal pruf akhir telah diperiksa untuk sebarang kesilapan.
Sekarang dengan peraturan hologram, penerbit berkata mereka dikenakan cukai secara efektif.
Mereka mesti membayar pendahuluan bagi kos hologram terlebih berdasarkan cetakan mereka.
“Jika kami rancang untuk mencetak 10,000 salinan, kami perlu mengeluarkan pendahuluan RM5,000, sebelum mencetak dan menjualnya,” kata seorang penerbit Islam tempatan kepada FMT.
Beliau berkata caj 50 sen untuk setiap salinan bermakna penerbit menanggung kos yang lebih tinggi untuk jumlah yang lebih besar yang sepatutnya menurunkan kos percetakan.
“Walaupun kami berjaya menurunkan kos pengeluaran kepada RM2 bagi 1 salinan kerana kuantiti yang lebih besar, kami masih perlu membayar tambahan 50 sen, iaitu tambahan 25%, bagi bayaran pendahuluan,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan penerbit Islam mengadakan bantahan terhadap peraturan hologram, mengatakan ia adalah satu bentuk cukai.
Kumpulan itu diketuai Almarhumah Sabariah Abdullah, penerbit yang berpangkalan di Kuala Lumpur pada akhir 1990-an yang mempelopori projek “Quran dalam bilik hotel” dengan mengedarkan salinan terjemahan Al-Quran di setiap bilik, walaupun mendapat bantahan awal daripada pihak berkuasa Islam yang mengatakan ia menghina kitab suci itu.
Penerbitan Quran dan terjemahannya tertakluk kepada peraturan ketat oleh KDN, termasuk keperluan yang diterbitkan hanya dalam resam Uthmani seperti yang digunakan di Arab Saudi.
Pihak berkuasa Islam berpendapat resam Uthmani meminimumkan kesalahan sebutan perkataan Arab.
Garis panduan yang dikeluarkan KDN pada Ogos tahun lepas seperti yang dipetik FMT juga menuntut penerbit Quran melibatkan “2 panel perunding” yang memiliki sekurang-kurangnya diploma tahfiz Al-Quran atau kelayakan yang diiktiraf.
“Yuran bagi mereka yang dipanggil ini juga merupakan kos tambahan bagi kami,” kata seorang penerbit.
Garis panduan ini juga memerlukan semua salinan Al-Quran berdasarkan format yang diterbitkan King Fahd Complex for the Printing of the Holy Qur’an, kilang pencetak Al Quran terbesar di dunia yang terletak di Madinah, Arab Saudi.
Seorang penerbit di Gombak memberitahu FMT, pegawai penguat kuasa sibuk merampas salinan Al-Quran, termasuk terjemahan popular kitab suci itu, semuanya kerana ia tidak mempunyai hologram.
Ia dirampas walaupun salinan itu mempunyai cop kelulusan yang menunjukkan teks Arabnya telah buat bacaan pruf oleh panel pakar KDN.
Beliau berkata langkah itu menimbulkan kerugian kepada penerbit dan kedai buku.
“Kami melihat ia sukar bagi orang Islam dan bukan Islam untuk mengakses Al-Quran. Peraturan dan birokrasi menambah kos yang tidak perlu kepada kerajaan dan akhirnya kepada orang ramai,” katanya.