Agong terus pamer sikap berjiwa rakyat singgah restoran pesan ‘teh tarik satu’

Agong terus pamer sikap berjiwa rakyat singgah restoran pesan ‘teh tarik satu’

Sultan Abdullah singgah restoran untuk santapan dan meluangkan masa berbual bersama rakyat.

Sultan Abdullah memesan air teh tarik dengan peniaga wanita di restoran Nasi Lemak Royale Kedah di Putrajaya dan kemudian duduk bersembang bersama beberapa individu.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sekali lagi menunjukkan seorang yang berjiwa rakyat dan merendah diri baginda sewaktu dirakam sedang bersantap di sebuah restoran.

Foto tersebut disiarkan menerusi laman Instagram rasmi Istana Negara, sewaktu baginda mencemar duli di restoran Nasi Lemak Royale Kedah, Putrajaya.

Baginda tiba ke premis berkenaan untuk bersantap selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Istana Melawati, hari ini.

Menerusi video yang dikongsi, baginda dilihat sedang berbual dengan beberapa individu yang berada di lokasi itu.

Ia bukanlah kali pertama Sultan Abdullah dirakam sedang menikmati hidangan di restoran biasa seperti orang kebanyakan.

Sebelum ini, baginda pernah menjadi perhatian sewaktu berkunjung ke restoran makanan segera KFC di Temerloh, Pahang.

Sultan Abdullah yang dikenali seorang raja yang berjiwa rakyat turut menegur dan menyapa pelanggan yang berada di restoran tersebut.

Video yang dikongsi di Instagram Istana Negara memaparkan baginda memakai kemeja putih lengkap bertali leher itu memasuki restoran berkenaan lantas memesan sendiri minuman.

“Apa ada jual?” tanya Tuanku kepada peniaga restoran berkenaan.

Dijawab peniaga itu, “macam-macam ada Tuanku” sebelum bertanyakan air apakah yang diinginkan Tuanku.

Dalam keadaan santai sambil meninjau suasana di dalam restoran, Tuanku kemudiannya bertanyakan jika air teh tarik ada dijual di situ.

“Air apa ada? Teh tarik ada? Teh tarik satu,” katanya kepada wanita yang mengambil pesanan baginda.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.