
Timbalan Pendakwa Raya, Aaron Chelliah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ketiga-tiga mereka ingin membuat tuntutan ke atas beberapa barangan yang disita daripada Obyu Holdings Sdn Bhd.
“Kami mewartakan notis untuk memanggil penuntut pihak ketiga pada 26 Ogos, dan beberapa pihak hadir hari ini,” katanya.
Peguam Umno Nor Fazreen Hazrina Rahim berkata parti itu menuntut wang tunai RM114.2 juta yang disita oleh pihak berkuasa pada 31 Jan ini.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berkata, bekas perdana menteri itu berusaha menuntut sejumlah mata wang asing, pen dan jam tangan.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa wang dan barangan tersebut adalah barangan peribadi Najib.
Peguam Azrul Zulkifli Stork, yang mewakili Rosmah dan 2 anaknya, Nooryana dan Norashman, berkata mereka mahu menuntut barangan kemas dan aksesori tertentu.
Tukang emas Lubnan Global Royalty Trading SAL, diwakili David Gurupatham, juga berusaha untuk mendapatkan kembali 44 barang kemas bernilai RM59.8 juta.
Syarikat itu sebelum ini memfailkan saman terhadap Rosmah berhubung barang kemas itu termasuk cincin, rantai leher, anting-anting dan loket.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan semua pihak ketiga yang berkepentingan untuk memfailkan permohonan rasmi sebelum perbicaraan pelucuthakan pada 31 Okt.
Kerajaan sedang berusaha mendapatkan pelucuthakan barang kemas, beg tangan, jam tangan, mata wang asing serta harta yang dirampas dari Obyu Holdings, yang semuanya dikatakan bernilai RM680 juta.
Barang-barang tersebut disita antara 17 Mei 2018 dan 31 Jan tahun ini.