
Farouk berkata, langkah polis membuat rumusan sedemikian amat menakjubkan, terutama sekali apabila mereka gagal membuat keputusan berhubung skandal video seks sejenis melibatkan seorang menteri.
“Malah mereka gagal mengenal pasti 2 lelaki yang terlibat dalam video seks itu,” kata Farouk, merujuk kepada video tular yang dikatakan membabitkan timbalan presiden PKR Mohamaed Azmin Ali.
“Jadi bagaimanakah mereka boleh mengenal pasti sesuatu yang berlaku beberapa ribu batu dari sini?”
Minggu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan langkah menghantar pulang Arif Komis, isteri dan 4 anak mereka yang masih kecil kepada pihak berkuasa Turki.
Angkara yang melancarkan langkah penangkapan penentang politiknya berikutan rampasan kuasa yang gagal pada 2016, mendakwa Komis terlibat dengan gerakan Gullen yang diketuai cendekiawan Islam Turki dalam buangan, Fethullah Gullen.
Angkara melabelkan gerakan beliau sebagai pertubuhan pengganas dan menuduhnya sebagai perancang rampasan kuasa itu. Gullen bagaimanapun menolak keras dakwaan tersebut.
Farouk, yang mengetuai Islamic Renaissance Front berkata, beliau manyanjung tinggi Mahathir, tetapi percaya perdana menteri itu tersilap dalam kes Komis.
“Saya sangat menghormati perdana menteri, tetapi saya fikir dalam isu ini beliau silap,” katanya kepada FMT di luar satu forum di sini.
“Kenapa kita perlu tunduk kepada kerajaan Erdogan dan menghantar beliau (Komis) pulang ke Turki sedangkan kita amat maklum tentang keadaan yang berlaku di sana?” soal beliau.
Komis, 43, dan keluarganya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum diarah menaiki penerbangan ke Turki pada Jumaat.
Beliau merupakan seorang daripada beberapa ribu warga Turki di luar negara yang dituduh merancang untuk menumbangkan kerajaan Turki semasa rampasan kuasa 2016.
Beliau, yang merupakan guru di sebuah sekolah persendirian di Kuala Lumpur adalah warga Turki ke-4 yang diketahui telah dihantar pulang dari Malaysia atas permintaan Ankara.
Pada 2017, Malaysia menghantar pulang warga Turki, Turgay Karaman, Ismet Ozelik dan Ihsan Asian. Langkah yang dikecam oleh kumpulan hak asasi.
Farouk berkata, seperti Karaman, yang disifatkannya sebagai kawan rapat, Komis hidup aman di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mencabar pihak berkuasa supaya membuktikan dakwaan bahawa Komis terlibat dengan keganasan.
“Maksud saya, bagaimanakah mereka mengesahkan dakwaan itu? Ia hanya berdasarkan dakwaan kerajaan Turki,” katanya.
Penghantaran pulang Komis dikecam oleh kumpulan hak asasi antarabangsa, termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International, walaupun kumpulan hak asasi tempatan enggan memberi komen apabila dihubungi.
Farouk berserta bekas duta, Dennis Ignatius adalah 2 individu yang membidas Putrajaya berhubung langkah itu.
Beliau berkata, modus operandi sama digunakan oleh Beijing terhadap penentang politiknya, yang dilabelkan sebagai pengganas, dengan harapan kerajaan asing akan menghantar mereka pulang.
Farouk, yang percaya Komis akan dipenjarakan berkata, adalah malang apabila penghantaran pulang beliau berlaku semasa umat Islam di Malaysia menyambut Awal Muharram bagi mengingati peristiwa hijrah atau perpindahan umat Islam awal yang melarikan diri daripada penganiayaan di Mekah ke Madinah.
“Ia bercanggah sama sekali dengan konsep hak asasi manusia dan idea hijrah itu sendiri,” kata Farouk.
“Kini kita memindahkan semula manusia ke negara yang akan bertindak keras terhadap mereka.”
Farouk berkata, Menteri Luar Negeri Saifudin Abdullah perlu bertanggungjawab atas nasib yang menimpa Komis.
Katanya, Saifuddin pernah menyebut bahawa satu prosedur operasi standard (SOP) baru akan diperkenalkan bagi menjamin terlaksananya keadilan untuk pencari suaka di Malaysia yang dikehendaki oleh kerajaan asing.
Beliau berkata, di bawah SOP tersebut, yang dikatakan telah dipersetujui oleh Kabinet, Wisma Putra akan diberikan taklimat mengenai kes berkaitan sebelum polis membuat keputusan untuk menghantar mereka pulang.
“Apakah polis telah memaklumkan kes ini kepada Wisma Putra,” soal Farouk.
“Jika mereka tidak diberikan taklimat, maka ia menunjukkan bahawa semuanya hanya wayang dan tidak ada pun SOP baru. Bagi saya, ia menunjukkan kelemahannya (Saifuddin) sebagai menteri luar.
Farouk juga mendesak Saifuddin supaya menjelaskan kenapa SOP baru itu tidak diikuti.