
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, kerajaan persekutuan wajib memulangkan 40% hasil yang dikutip dari Sabah berdasarkan Jadual ke-10 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, menteri kewangan dan Putrajaya akan memulangkan 40% kutipan levi itu dengan adanya tekanan daripada kerajaan negeri dan menteri persekutuan dari Sabah.
“Mereka asyik bercakap yang mereka sudah membangkitkan isu Sabah dalam Kabinet, walaupun tiada hasil ketara untuk membuktikan usaha mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffrey berkata, jika Menteri Kewangan, Lim Guan Eng enggan memulangkan 40% itu, ia ternyata beliau dan kerajaan persekutuan tidak mempedulikan Perlembagaan Persekutuan.
Mulai semalam, sesiapa saja yang terbang dari Malaysia ke negara Asean perlu membayar RM8 bagi kelas ekonomi dan RM50 bagi kelas lain.
Bagi penerbangan ke negara di luar Asean, penumpang kelas ekonomi akan dikenakan RM20 dan kelas lain perlu membayar RM150.
Levi pelepasan ini ialah tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang (PSC) atau cukai lapangan terbang sebanyak RM35 bagi penerbangan ke Asean dan RM73 bagi penerbangan di luar Asean dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta RM50 untuk klia2 dan lapangan terbang lain, mulai 1 Oktober ini.
Jeffrey berkata, pelaksanaan levi pelepasan akan memberi kesan besar ke atas sektor pelancongan di Sabah.
“Sebagai langkah baik, kerajaan Sabah perlu menyimpan baki 60% cukai pelepasan sebagai bayaran kontra bagi pendapatan bersih lain yang patut diberikan kepada Sabah, sementara menunggu 40% pendapatan bersih dipulangkan sepenuhnya kepada kerajaan.
“Malah, kerajaan negeri pimpinan Warisan pernah berkata tunggakan oleh kerajaan persekutuan berjumlah RM1 trilion, tetapi mereka nampaknya sudah lupa mengenainya sekarang kerana mereka sudah menjadi kerajaan.”