Kenaikan caj kargo udara jejas harga produk import, kata majlis perkapalan

Kenaikan caj kargo udara jejas harga produk import, kata majlis perkapalan

Setiausaha Agung Majlis Perkapalan Nasional Malaysia, Nathan K Suppiah berkata harga produk import yang diterbangkan ke Malaysia akan meningkat 10 hingga 12%.

Bulan lalu, MASkargo mengumumkan tarif gudang akan dinaikkan buat kali pertama selepas 6 tahun. (Facebook pic)
PETALING JAYA:
Syarikat pengangkutan udara dan perkapalan menggesa MASkargo menghentikan pelaksanaan caj baru mulai semalam kerana menjangkakan harga produk import yang diterbangkan ke negara ini akan meningkat 10 hingga 12%.

Setiausaha Agung Majlis Perkapalan Nasional Malaysia (MNSC), Nathan K Suppiah berkata harga salmon, epal dan produk import lain akan terjejas.

“Kami mahu mengadakan mesyuarat dengan MASkargo serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menghentikan kenaikan caj ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

MASkargo ialah sayap pengangkut Malaysia Airlines Bhd. Bulan lalu, syarikat itu mengumumkan tarif gudang akan dinaikkan buat kali pertama selepas 6 tahun.

Caj terminal dinaikkan daripada 25 sen kepada 28 sen setiap kg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan daripada 20 sen kepada 22 sen setiap kg di lapangan terbang lain.

MASkargo turut memperkenalkan bayaran pengendalian khas sebanyak 5 sen setiap kg dan caj bilik sejuk RM1.50 setiap kg. Sebelum ini, kedua-dua perkhidmatan ini adalah percuma bagi 24 jam pertama.

Ketua Eksekutif MASkargo, Ibrahim Mohamad Salleh berkata kenaikan caj itu adalah perlu kerana kos operasi meningkat sejak 2013 dan ia akan membantu syarikat penerbangan kargo itu mendapatkan semula pelaburan dalam kemudahan pengendalian kargo.

Seorang eksekutif di sebuah syarikat kargo udara yang enggan dinamakan berkata, kenaikan caj itu dilaksanakan ketika negara berdepan kelembapan ekonomi.

“Kenaikan caj itu bukan saja menjejaskan barangan import seperti makanan tidak tahan lama, elektronik dan farmaseutikal, tetapi juga eksport seperti bunga segar, makanan laut sejuk beku dan kargo am.”

Katanya, caj baru boleh menyebabkan sehingga 30% eksport keseluruhan dilencongkan ke Singapura melalui laluan darat kerana “ia tidak dikenakan caj terminal”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.