
Beliau turut menggesa kaum lain tidak menganggap kempen mengutamakan produk Islam sebagai satu permusuhan dengan memberi contoh banyak syarikat yang mengiklankan produk mereka di semua media dan papan tanda.
“Itu bukan bererti satu peperangan kepada syarikat lain. Ia satu usaha syarikat untuk melariskan produk mereka demi pengukuhan ekonomi mereka.
“Kita semua berusaha memajukan masyarakat Muslim kita, terutama dalam menghadapi situasi yang ada seperti sekarang.
“Ini demi persaudaraan sesama Muslim, keteguhan ekonomi umat dan masa depan bersama,” tulisnya di Facebook hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak bersetuju dengan kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputera yang disifatkannya tindakan golongan berfikiran cetek.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyeru PAS dan Umno membantu menghentikan kempen boikot itu yang tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.
Setiausaha agung DAP itu berkata, jika Umno dan PAS tidak memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu, kedua-dua parti itu patut membantah boikot berkenaan.
Hari ini, Asri berkata, memboikot barangan bukan Islam bukan tindakan bijak, walaupun wujud sikap anti-Islam dalam kalangan mereka, khususnya ahli politik parti tertentu.
“Namun, bukan semua ‘non-Muslim’ yang bersikap demikian. Ada mereka yang baik hubungan dan perghormatan mereka kepada masyarakat Muslim.
“Kedua, produk Muslim sendiri tidak merangkumi seluruh keperluan kehidupan pada masa kini. Maka, sangat sukar untuk berjaya jika memboikot keseluruhannya selagi kita masih bergantung kepada sumber produk bukan Muslim dalam sebahagian keperluan.”
Katanya, ekonomi ialah kuasa penting sesebuah masyarakat dan umat Islam akan diperlekehkan golongan anti-Islam jika ekonomi mereka lemah.
“Kita hendaklah berikhtiar membantu apa yang kita mampu dalam mencapai misi ini. Antaranya, membeli dan mengutamakan produk Muslim, berkongsi kepakaran sesama Muslim dalam bidang ekonomi.
“Tolong berkempen barangan Muslim, mencari ruang supaya hasil produk dan peningkatan perniagaan Muslim dapat ditingkatkan.”
Asri mengakui keadaan ekonomi umat Islam agak ketinggalan dan membantu sesama keluarga, puak, bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan serta taqwa tidak dianggap perkauman sempit, selagi mereka tidak menzalimi pihak lain.
“Mungkin kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi disebabkan jumlah kita di negara ini. Malangnya, kita bukan peniaga, apatah lagi pengeluar.
“Kita sekadar pembeli dan pengguna dalam banyak hal. Hal ini perlu diatasi. Kuasa membeli kita mesti dimanfaatkan.”
Katanya, pengeluaran sebahagian produk keperluan ialah fardu kifayah dalam menyelamatkan keperluan dan maruah umat Islam.
“Membeli dari peniaga Muslim sebagai usaha memperkukuhkan kuasa ekonomi umat Islam pastinya langkah bagi memastikan fardu kifayah tersebut terlaksana. Jika gagal sehingga umat ini boleh diperkotak-katikkan, maka semua kita berdosa.
“Atas kelemahan masyarakat Muslim menguasai rantaian bekalan menyebabkan peniaga Muslim menghadapi cabaran kuat di sudut persaingan. Contohnya, agak sukar untuk kita dapati pasar raya besar dimiliki Muslim atau memasarkan barangan keluaran Muslim.
“Demikian juga untuk memperolehi bahan mentah yang baik dan berpatutan. Ini berlaku disebabkan faktor tertentu, antaranya pihak lain telah lama melancarkan usaha membantu ekonomi sesama sendiri.
“Tiada siapa pun menyatakan itu ‘rasis’. Jika masyarakat Muslim tidak bertindak membantu sesama sendiri, bererti kita membiarkan peniaga dan pengusaha Muslim gagal dalam usaha pengukuhan ekonomi.”
Katanya, jika setiap rumah orang Islam membeli barang keperluan dapur saja dalam kalangan produk Islam, ia akan menyumbang berbilion ringgit bagi pergerakan ekonomi umat Islam.
Beliau berkata, lebih banyak produk dan syarikat perniagaan Islam juga akan muncul dan zakat serta bantuan sesama Islam akan bertambah kukuh.