Pemimpin tertinggi tidak tahu, Hishammuddin nafi disiasat lembaga disiplin Umno

Pemimpin tertinggi tidak tahu, Hishammuddin nafi disiasat lembaga disiplin Umno

Portal berita Malaysiakini melaporkan Hishammuddin sedang disiasat Lembaga Disiplin Umno atas aduan salah laku.

Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.
PETALING JAYA:
Pemimpin tertinggi Umno tidak mempunyai sebarang maklumat kononnya bekas menteri yang pernah menjadi naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, sedang disiasat Lembaga Disiplin parti itu atas aduan salah laku.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan tentang salah laku Hishammuddin.

Katanya, Lembaga Disiplin Umno merupakan badan bebas dan sebarang aduan salah laku ahli akan dibuat secara terus kepada badan itu.

“Pengurusan tidak mengetahui dan kita tiada menerima sebarang aduan.

“Lembaga Disiplin Umno badan bebas, jika ada aduan terus, pihak lembaga akan siasat dulu prima facienya dan maklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT). Setakat ini kita tidak ada terima sebarang maklumat,” katanya kepada FMT hari ini.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan turut mengesahkan kenyataan Annuar bahawa pihak pengurusan parti itu tidak mempunyai apa-apa maklumat berhubung perkembangan tersebut.

“Setakat ini tidak ada apa-apa,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Hishammuddin ketika dihubungi berkata, dakwaan mengatakan beliau sedang disiasat adalah tidak benar.

“Tidak benar,” katanya ringkas ketika diminta mengulas dakwaan itu.

Terdahulu portal berita Malaysiakini melaporkan Hishammuddin sedang disiasat Lembaga Disiplin Umno atas aduan salah laku.

Menurut laporan tersebut, perkara itu disahkan oleh pengerusi lembaga berkenaan, Mohamed Apandi Ali.

Bagaimanapun menurut bekas peguam negara itu, belum ada sebarang cadangan atau syor dibuat oleh badan tersebut kepada Umno.

“Setakat hari ini belum dibuat apa-apa syor. Selepas selesai siasatan baru kita akan buat syor, jika difikirkan perlu,” katanya, lapor Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Apandi memberitahu FMT bahawa tidak ada apa-apa tindakan diambil ke atas Hishammuddin.

Apabila ditanya sama ada bekas menteri itu maklum bahawa beliau disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno, Apandi berkata, “anda perlu bertanya kepadanya.”

Hishammuddin merupakan salah seorang naib presiden Umno dan di bawah pentadbiran Najib Razak, beliau diberikan amanah sebagai menteri pertahanan.

Ekoran kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas, Hishammuddin tidak mempertahankan jawatannya dan dilihat agak lunak kepada kerajaan, berbanding pemimpin lain dalam kalangan pembangkang.

Beliau juga baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun Hishammuddin berkata, pertemuan dengan perdana menteri itu adalah perkara biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.