Pasangan maut kebakaran sibuk buat persiapan kahwin anak bongsu

Pasangan maut kebakaran sibuk buat persiapan kahwin anak bongsu

Ho Yok Fun dan isterinya Chow Kim Mui hanya tinggal berdua di situ kerana mengusahakan kedai makan.

Rumah yang didiami pasangan suami isteri yang maut dipercayai menjadi punca kebakaran yang memusnahkan 20 rumah kedai, 11 unit rumah dan 1 perpustakaan. (Gambar Twitter)
KUANTAN:
Pasangan suami isteri yang disyaki rentung dalam kebakaran besar di Sungai Lembing awal pagi tadi, difahamkan sedang melakukan persiapan perkahwinan anak bongsu mereka.

Perkara itu dimaklumkan oleh adik mangsa Ho Yok Kam, 69, yang berkata abangnya Ho Yok Fun, 74, dan isterinya Chow Kim Mui, 70, hanya tinggal berdua di situ kerana mengusahakan kedai makan.

“Semua anak mereka bekerja di luar. Saya tahu majlis perkahwinan anak bongsu mereka yang bekerja di Singapura, akan diadakan minggu hadapan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata 4 anak mangsa terdiri daripada 2 perempuan dan 2 lelaki, difahamkan sudah bergegas pulang ke Sungai Lembing untuk membantu pihak berkuasa melakukan ujian deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mayat.

Yok Kam berkata beliau menerima berita kebakaran itu sekitar 5 pagi dan terus bergegas ke Sungai Lembing dari rumahnya di bandar Kuantan, yang mengambil masa perjalanan selama hampir sejam.

“Semasa sampai saya lihat bomba sudah memadamkan api… kemudian ada orang beritahu abang dan kakak ipar saya tidak ditemui dalam kebakaran itu dan kemungkinan terperangkap dalam rumah,” katanya.

Pada kejadian 1.30 pagi tadi, rumah yang didiami pasangan suami isteri itu dipercayai menjadi punca kebakaran yang keseluruhannya melibatkan 32 bangunan, terdiri daripada 20 rumah kedai, 11 unit rumah dan sebuah perpustakaan.

Bomba mengesahkan penemuan 1 mayat dalam keadaan rentung pada 6 pagi tadi, yang dipercayai mayat wanita berdasarkan perhiasan yang dipakai manakala operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan.

Mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.