
Suspek, Roni Andriawan, 39, berkata dia bertindak demikian pada awalnya untuk bergurau supaya bayi perempuan itu berhenti menangis kerana merengek akibat demam.
“Saya ajaknya bergurau, tak fikir sampai menghantukkan kepadanya (ke dinding), saya campaknya sambil ketawa, saya campak kali pertama tak kena dinding,” katanya memetik laporan Tribun Jakarta.
Roni ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai mendera anak tirinya sehingga mati pada 26 Ogos lalu ketika menjaganya kerana isterinya sedang mandi dan memasak.
Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa, Dianwardah disebabkan pendarahan otak akibat terhentak benda keras.
“Mangsa sedang sakit, diberikan ubat dan diberi minum air kelapa muda tapi tetap merengek jadi suspek berang, lalu dicampak sekali dan 2 kali ke dinding rumah, mengenai kepala dan ia bertepatan dengan hasil bedah siasat forensik,” kata ketua polis Serang Baru.
Dalam laporan berasingan mengatakan suspek baru berkahwin dengan ibu mangsa 6 hari sebelum kejadian.
Ibu mangsa dipetik sebagai berkata dia mengenali suspek melalui aplikasi mencari jodoh selama 4 hari sebelum menerima lamaran suspek sebagai isteri.