
Karya seni Yasmin yang bersifat malar segar memberi pemahaman yang sangat jelas kepada masyarakat mengenai makna sebenar kasih sayang sesama manusia.
Yasmin menerusi kerja seninya sentiasa mengingatkan masyarakat betapa pentingnya rasa hormat dan nilai toleransi dalam menjalani kehidupan masyarakat berbilang kaum.
Pelakon, penyanyi dan personaliti TV yang dekat dengan beliau, Adibah Noor berkongsi rasa rindu untuk menjadi tenaga kerja di bawah pengarahan pengarah wanita anti perkauman itu.
“Banyak yang saya terhutang budi terhadapnya.
Kalau tidak kerana formula kasih sayang sesama insan dan keberanian beliau mengetengahkan bakat yang tidak menurut ciri-ciri rupa paras biasa seorang bintang.
“Mungkin tidak ramai yang akan mengenali saya,” katanya kepada FMT sambil menambah Yasmin adalah pengarah yang berjuang memartabatkan bakat mengatasi rupa paras seseorang.

Adibah berkata, beliau masih terkesan dengan jasa Yasmin yang sentiasa memperjuangkan kasih sayang sasama insan ketika hayatnya.
“Saya sendiri sehingga ke hari ini (masih) menerima tegur sapa daripada berbilang bangsa setelah menjadi salah seorang tenaga bakat yang melakonkan watak-watak dalam kisah perpaduannya,” katanya.
Jelas Adibah, sepanjang mengenali insan yang istimewa itu, Yasmin komited berjuang untuk menyatupadukan penontonnya melalui karya-karya yang dihasilkan.
Dilahirkan pada 7 Januari 1958 di Muar, Johor, Yasmin merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom.
Sepanjang bergelar sutradara, Yasmin menghasilkan banyak filem yang membanggakan negara seperti “Sepet”, “Gubra”, “Mukhsin”, “Muallaf” dan “Talentime”.
Selain filem, beliau banyak menghasilkan iklan untuk syarikat minyak negara, Petronas sempena perayaan seperti Hari Merdeka, Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.
Iklan yang menyelitkan tema perpaduan itu sering dinanti-nantikan penonton setiap tahun. Antara iklan yang ‘melekat’ di hari mereka ialah “Different World”, “Lee Yen’s Best Friend”, “1 Little India Boy”, “Tan Hong Ming” dan banyak lagi.

Tiada lagi pengkarya berani

Sementara itu, pengarah filem Al Jafree Yusop berkata, pemergian Yasmin menjadikan industri filem negara kehilangan seorang sutradara yang berani keluar daripada dogma penceritaan yang konvensional.
“Yasmin antara pengarah yang berani keluar dari dogma ‘storytelling’.
“Watak-watak protagonis dan antagonis di dalam penceritaan Yasmin tidak jelas.
“Penonton kita selalunya biasa dengan penceritaan konvensional di mana watak di dalam cerita itu jelas akan hitam dan putihnya,” katanya sambil menambah ia dilakukan kerana manusia memang selalunya wujud di antara ruang itu.
Yasmin menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai 2009 selepas diserang angin ahmar dan pendarahan teruk di bahagian otak. Beliau meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara.