
Tijah Yok Chopil yang mengetuai Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia memberitahu FMT bahawa beliau percaya gangguan perkhidmatan bas sekolah untuk pelajar Orang Asli tidak akan berlaku sekiranya ahli politik memberi perhatian kepada kerja, bukannya disibukkan oleh politik.
“Saya tidak hanya menyalahkan kerajaan sekarang kerana ia merupakan masalah lama,” katanya.
“Tetapi kerajaan sekarang membiarkan keadaan itu berlanjutan, bukannya bekerja mewujudkan sistem lebih baik.”
Pada Rabu, ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berkata, perkhidmatan bas terbabit tidak pernah terganggu pada waktu Barisan Nasional (BN) berkuasa.
Beliau berkata, gangguan yang berlaku sekarang disebabkan kegagalan kerajaan membayar kontraktor tepat masa, justeru menyukarkan mereka menyelenggara bas.

Katanya, ada sesetangah kontraktor yang tidak menerima bayaran sehingga 5 bulan.
Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata, Kementerian Kewangan lewat meluluskan permohonannya untuk membuat pembayaran kepada kontraktor bagi bulan April, Mei dan Jun.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan dakwaan itu dengan berkata, jabatan itu lewat membuat permohonan.
Sehubungan itu Jakoa berkata, permohonan telah diluluskan dan pembayaran akan dibuat serta-merta.
Tijah berkata, terlalu banyak berpolitik jelas memberi kesan ke atas kecekapan kerajaan.
“Perubahan kerajaan sepatutnya mengubah keadaan, tetapi malangnya kita masih berdepan masalah sama,” katanya.
Tijah juga menyebut keadaan yang disifatkannya sebagai kepercayaan dalam kalangan sesetengah orang bahawa Orang Asli cenderung untuk mengabaikan kepentingan pelajaran kepada anak mereka.
Katanya, seperti rakyat Malaysia yang lain, kebanyakan Orang Asli mahu anak mereka mendapat pelajaran, selain menyokong cita-cita mereka untuk belajar.
Bagaimanapun katanya, ia selalu terhalang oleh masalah seperti ketiadaan pengangkutan dan kemudahan infrastruktur yang baik.
Bercanggah dengan kenyataan ahli Parlimen Cameron Highlands sebelum ini, Tijah berkata, ia sama seperti masalah gangguan perkhidmatan bas yang kerap berlaku sebelum ini.
Katanya, terdapat kes apabila anggota masyarakat Orang Asli cuba mengatasi masalah gangguan perkhidmatan bas dengan bekerjasama menghantar pelajar ke sekolah sama ada dengan kereta atau van milik mereka.
“Mereka akan menggunakan duit sendiri untuk membeli minyak dan menyelenggara kenderaan kerana kerajaan lewat memberi dana yang diperlukan kepada Jakoa,” katanya.