
Kebanyakan individu beranggapan bahawa makanan laut adalah makanan yang mahal dan eksklusif.
Lihat sahaja harga satu hidangan lobster di restoran, pasti anda akan terkejut ketika membayar bilnya!
Namun bukan semua makanan laut malah ada juga yang harganya sangat berpatutan untuk dibeli dan dimakan.
Ada individu yang sangat gemar dengan makanan laut.
Sebut sahaja apa nama ikan yang sedap untuk dimakan, pasti mereka dapat menjawabnya dengan huraian yang cukup panjang.
Bagaimanapun tidak dinafikan ada individu yang mengalami alahan terhadapnya.
Benarkah ia mampu menyebabkan alahan?
Apa itu makanan laut?
Makanan laut adalah sebarang bentuk hidupan laut yang boleh dijadikan sebagai makanan oleh manusia.
Ia termasuklah segala jenis ikan, kerangan, tumbuhan dan hidupan lain yang hidup di dalam laut.
Dari segi sejarahnya, mamalia laut seperti ikan paus dan ikan lumba-lumba telah lama digunakan sebagai sumber makanan pada zaman dahulu.
Bagaimanapun, zaman kini ia sudah tidak dianggap relevan untuk dimakan.
Selain itu, kerangan yang sering dijadikan sumber makanan pula adalah termasuk dalam pelbagai spesies ekinoderma, krustasea dan moluska.
Untuk pengetahuan anda, tumbuhan laut juga sebenarnya boleh dijadikan sumber makanan.
Tumbuhan laut yang boleh dimakan seperti rumpai laut dan mikroalga sebenarnya dimakan secara meluas di seantero dunia ini, terutamanya di negara-negara benua Asia seperti Jepun yang banyak menggunakannya di dalam pembuatan makanan tradisinya seperti sushi.
Dalam pada itu lagi, istilah makanan laut itu sendiri sebenarnya adalah lebih luas.
Ia boleh diperluaskan lagi kepada organisma sungai yang boleh dimakan oleh manusia.
Dalam erti kata yang lain, bukan sahaja hidupan dalam laut, malahan hidupan dalam air tawar atau apa-apa sahaja hidupan akuatik juga boleh dikategorikan sebagai makanan laut.
Makanan laut adalah sumber protein paling penting dalam kebanyakan diet di seluruh dunia, terutamanya di kawasan pantai dan sungai.
Alahan makanan laut
Ada individu yang menggemari makanan laut sehingga tidak sah jika dalam sehari itu mereka tidak memakannya.
Namun, ada juga individu yang akan sedaya upaya mengelak daripada memakannya kerana mereka mengalami alahan terhadapnya.
Persoalannya, adakah ia memang mampu menimbulkan alahan?
Jawapannya adalah ya.
Ia juga bukan satu alahan yang aneh atau pelik kerana dianggarkan bahawa 1% daripada populasi manusia menghidapi alahan terhadap makanan laut.
Ia lebih biasa terjadi kepada individu yang sudah menjangkau usia remaja dan dewasa berbanding kanak-kanak.
Dalam kebanyakan kes, 20% daripada golongan ini akan mula menunjukkan simptom-simptom ini seiring dengan perjalanan usia.
Ia juga sangat biasa terjadi kepada individu yang mendiami kawasan yang menjadikan makanan laut sebagai diet utama mereka seperti di Asia dan Scandinavia.
Apakah simptom-simptomnya?
Kebanyakan reaksi alahan terhadap makanan laut adalah ringan, namun juga boleh menjadi teruk jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Jika berlaku, ia akan menyebabkan ruam pada badan (urticaria), bengkak pada badan (angioedema) dan/atau sakit perut (diarrhoea).
Selain itu, ia juga akan menyebabkan sakit pada tekak dan kerongkok.
Lebih berbahaya, ia juga akan mengakibatkan masalah pernafasan dan penurunan tekanan darah secara drastik.
Kondisi ini dikenali sebagai anaphylaxis dan boleh mendatangkan maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Apakah yang menyebabkannya?
Kebanyakan kita mempercayai bahawa jika ada individu yang mengalami alahan terhadap makanan laut, ia adalah disebabkan oleh iodin.
Sebenarnya, ia bukan begitu. Alahan ini terjadi disebabkan oleh kandungan protein yang terdapat di dalam makanan laut tersebut.
Mereka yang mengalami alahan makanan laut tidak berisiko mengalami reaksi sepertimana individu yang mengalami alahan iodin (seperti alahan terhadap antiseptik Betadine dan Povidine).
Begitu juga sebaliknya.
Kumpulan makanan laut yang boleh mengakibatkan alahan:
Vertebra (yang mempunyai tulang belakang)
Ia terdiri daripada pelbagai jenis ikan termasuklah ikan bilis, salmon, kod, makerel, trout, haddock, sardin, tuna, belut, John Dorry dan lain-lain.
Invertebra (yang tidak mempunyai tulang belakang)
Ia terdiri daripada kerangan dan mempunyai dua jenis.
Pertama, jenis krustasea termasuklah udang, ketam, lobster dan yabbies.
Kedua, jenis moluska termasuklah tiram, kerang, sotong, abalone, calamari dan lain-lain.
Walaupun kedua-dua ikan dan kerangan adalah hidupan akuatik yang hidup di tempat yang sama, alergen protein antara keduanya adalah berbeza antara satu sama lain.
Ini bermakna seseorang individu itu mungkin akan mengalami alahan terhadap satu jenis hidupan sahaja.
Kebiasaannya, mereka yang mengalami alahan kepada satu jenis ikan turut mengalami reaksi yang sama terhadap ikan yang lain.
Begitu juga bagi mereka yang mengalami alahan terhadap kerangan.
Lakukan ujian alahan makanan
Jika anda risau masalah ini berlaku kepada anda atau anak anda, segera berjumpa doktor untuk lakukan diagnosis.
Pertama sekali, doktor anda bertanyakan kepada anda beberapa soalan penting untuk merungkai apa sebenarnya punca alahan itu sama ada makanan, ubatan atau terdedah terhadap gigitan serangga.
Pendekatan ini juga akan menepikan segala kondisi yang seringkali disalah ertikan sebagai alahan makanan.
Ujian alahan terhadap kulit dan darah atau IgE spesifik akan membantu memastikan punca sebenarnya.
Bagaimanapun, anda tidak boleh bergantung 100 peratus terhadap keputusannya dan sama ada ringan atau teruk.
Selain itu, agak penting juga untuk anda mencuba setiap spesies makanan laut untuk ujian kulit dan darah.
Dengan ini, anda mungkin akan dapat tahu lebih tepat dan terperinci mengenai spesies mana yang akan menyebabkan alahan kepada anda.
Apa yang anda boleh lakukan?
Sekiranya ujian alahan makanan yang anda lakukan itu positif terhadap makanan laut, maka anda perlu lakukan beberapa perkara untuk mengelakkan alahan itu menjadi lebih teruk dan menjejaskan kesihatan anda.
Paling penting, cuba untuk elak dari terdedah makanan laut secara total, walaupun ia agak sukar.
Pendedahan secara tidak sengaja lebih mudah berlaku jika anda makan di luar, terutamanya di restoran yang menunya banyak menghidangkan hidupan akuatik sebagai sajian utama.
Apa yang anda boleh lakukan adalah elakkan perkara-perkara berikut:
- Segala piring, pinggan atau mangkuk yang menghidangkan makanan laut
- Makanan yang berasal dari benua Asia kerana ia banyak menggunakan kerangan sebagai bahan penambah perasa
- Makanan yang dimasak bersama makanan laut dalam kuali dengan minyak yang sama.
- Makanan yang dijual di kedai yang ada menghidangkan pelbagai makanan laut
- Piza komersial kerana proses pembuatannya mungkin telah tercampur dengan bahan yang boleh mendatangkan alahan
- Barbeku yang menghidangkan campuran makanan darat dan laut
- Salad caesar dan sos worcestershire kerana ia mengandungi bahan yang boleh mendatangkan alahan
- Bir dan wain kerana ia mungkin mengandungi bahan yang diperbuat daripada organ dalaman ikan
Sebaiknya, anda perlu berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan dengan lebih lanjut.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]