Mahkamah tetap 8 Okt keputusan rayuan kes isteri subahat bunuh suami

Mahkamah tetap 8 Okt keputusan rayuan kes isteri subahat bunuh suami

Mahkamah Rayuan memberi tempoh 14 hari bermula hari ini kepada pihak pendakwaan raya dan pembelaan mengemukakan hujah sebelum membuat keputusan.

Ling Hang Tsyr merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sibu pada 17 Okt, 2017 yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya selepas didapati bersalah bersubahat membunuh suaminya, Wong Jing Kui, pada 14 Jun, 2012. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 8 Okt untuk keputusan rayuan seorang isteri yang dihukum mati kerana bersubahat membunuh suaminya, seorang pengurus bank di Sibu, 7 tahun lepas.

Mahkamah itu pada 26 Ogos menetapkan hari ini untuk keputusan rayuan wanita itu, bagaimanapun hakim Zabariah Mohd Yusof yang mengetuai panel 3 hakim, iaitu Suraya Othman dan Kamaludin Md Said berkata, mahkamah memerlukan hujahan tambahan, iaitu kronologi kes berkenaan yang disifatkan kurang lengkap bagi mahkamah membuat keputusan.

“Mahkamah memberi tempoh 14 hari bermula hari ini bagi Timbalan Pendakwa Raya (Tengku Intan Suraya Tengku Ismail) dan peguam perayu (Lim Heng Choon bersama Roger Chin dan Steven Sia) untuk mengemukakan hujah,” katanya.

Ling Hang Tsyr, 38, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sibu pada 17 Okt, 2017 yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya selepas didapati bersalah atas pertuduhan bersubahat membunuh suaminya, Wong Jing Kui, 31, di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah, Sibu, pada 1.30 pagi, 14 Jun, 2012.

Kerani bank bahagian pemulihan kredit itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan bersama teman lelakinya, Andrew Tiong King Guan, 31, yang belum didakwa kerana menghilangkan diri sejak 10 Feb 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.