
Esper memberitahu pemberita di Pentagon semasa taklimat berita yang jarang berlaku bahawa sebaik sahaja menyingkirkan sistem S-400 buatan Rusia itu, Ankara akan dibenar menyertai semula program F-35.
“Pendirian saya amat jelas melalui kenyataan umum mahupun secara peribadi dengan rakan sejawat dari Turki, pilih sama ada F-35 atau S-400. Bukan kedua-duanya,” kata Esper.
“Turki sudah lama menjadi rakan kongsi dan sekutu kami dan saya berharap mereka akan kembali ke pangkuan kami dan melakukan apa yang dipersetujui NATO bertahun-tahun yang lalu, iaitu dengan mengambil langkah melupuskan peralatan Rusia semasa era Kesatuan Soviet,” katanya.
“Mereka seolah-olah bergerak ke arah yang berbeza.”
Pentadbiran Trump menggantung Turki daripada program F-35 susulan tindakan Ankara menerima S-400.
Presiden Donald Trump berulang kali menyuarakan keengganan untuk menghukum Turki susulan tindakannya membeli sistem pertahanan peluru berpandu Rusia S-400 ketika mengumumkan penyingkiran Ankara daripada program pesawat pejuang F-35 pada Julai.
Pentadbiran Trump mendakwa sistem S-400 boleh mendedahkan pesawat pejuang itu kepada kemungkinan muslihat Rusia dan tidak sesuai dengan sistem NATO.
Turki bagaimanapun berkata, S-400 tidak akan digabung dengan sistem NATO dan tidak akan mendatangkan sebarang ancaman terhadap pakatan itu.
Trump menyalahkan pentadbiran Barack Obama untuk pertikaian yang sedang berlaku berhubung keengganan negara itu memeterai satu perjanjian dengan Turki untuk menjual sistem pertahanan peluru berpandu Patriot yang dimiliki syarikat pertahanan Amerika, Raytheon.