
Saya sebagai anak Kelantan ingin mengulas sepintas lalu kenyataan Timbalan Menteri Besar Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Mereka berdua mengeluarkan kenyataan yang paling lucu dan sekadar nak tunjuk prihatin.
Pertama kenyataan Nik Amar yang mengatakan Kelantan dikatakan miskin tapi 65 penerbangan sehari. Ilmu ekonomi dari mana kemiskinan diukur dari jumlah penerbangan sehari? Hehe geli hati rasanya.
Penumpang dari berbagai kelompok termasuk kakitangan kerajaan, profesional, ahli perniagaan dan berbagai golongan rakyat yang tidak semestinya semua rakyat Kelantan.
Maka bagi Nik Amar, yang naik kapal terbang hari-hari tidak miskin. Tapi yang tidak pernah naik kapal terbang Nik Amar tak kira?
Hujah ini mengatasi segala pakar ekonomi termasuk dari Harvard, Oxford, Stanford dan UniKL. Janganlah mempersenda minda rakyat Kelantan yang ramai cerdik pandai.
Nik Amar juga berhujah orang Kelantan banyak tanah, kebun dan macam lagi termasuk reban ayam dan kandang lembu kut? Kalau inilah hujah untuk menafikan kemiskinan rakyat, maka buat apa ada kerajaan atau rakyat mengundi untuk pilih kerajaan.
Inilah yang di katakan “ulat dalam batu pun boleh hidup”. Kalau rakyat boleh makan pucuk rebung atau ubi kayu, maka tidak tergolong sebagai kemiskinan, mudah sangatlah jadi kerajaan.
Tapi wakil rakyat dan yang memegang jawatan gaji puluhan ribu naik kapal terbang pun kerajaan yang bayar.
Berlori resolusi
Kenyataan Tuan Ibrahim pula menggesa diadakan “kongres kemiskinan”. Kongres apa lagi Tuan Ibrahim? Berapa banyak sudah konvensyen, seminar, meja bulat dan kajian yang dibuat oleh universiti dan berbagai institusi penyelidikan termasuk kongres Bumiputra. Berlori sudah resolusi-resolusi yang dihasilkan.
PAS memerintah lebih 25 tahun sehingga kini dan sebelum ini 18 tahun, nak kongres apa lagi? Tak nak anjur kongres nasib Orang Asli Ulu Kelantan?
Adakala naik pening memikirkan bila baca kenyataan-kenyataan mereka yang sudah berkuasa. Bilakahmereka ini akan lebih kreatif dan inovatif. Sampai bila nak beretorik?
Reaksi ikhlas dari saya anak Kelantan jati yang terus kecewa dengan kemunduran rakyat dan negeri Kelantan, walaupun kaya dengan berbagai sumber alam, pantai dan sungai yang indah, budaya yang hebat, aneka makanan tersohor, dan rakyat yang rajin dan ramai yang terpelajar.
Malangnya ada yang masih berfikir macam otak di lutut. Bodoh tak boleh diajar dan cerdik tidak boleh ditegur. Nasib rakyat Kelantan dapat pemimpin ibarat pahat dengan penukul.
Ibrahim Ali adalah bekas ahli Parlimen Pasir Mas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.