Dego Ride tawar khidmat percuma selepas cadangan dapat ‘lampu hijau’

Dego Ride tawar khidmat percuma selepas cadangan dapat ‘lampu hijau’

Tawaran terhad sekali sehari untuk masa yang terhad dan menggunakan penunggang sedia ada dari 2016.

PETALING JAYA: Syarikat e-panggilan motosikal pertama Malaysia, Dego Ride menawarkan perkhidmatan percuma bermula hari ini walaupun kerajaan baru menerima cadangan untuk memperkenalkan semula perkhidmatan perkongsian motosikal.

Pengasasnya, Nabil Feisal Bamadhaj berkata tawaran itu terhad sekali sehari untuk masa yang terhad dan menggunakan penunggang sedia ada dari 2016.

Setakat ini Dego Ride tidak memohon sebarang lesen kerana Kementerian Pengangkutan belum sediakan permohonan baru.

“Secara kasar mereka telah beri kelulusan. Boleh asalkan perkhidmatan ini ditawarkan melalui ‘rider’ yang sedia ada dari 2016 dan dijamin keselamatannya.

“Bukan untuk ‘rider’ baru. Tidak ada masalah Insya-Allah,” katanya kepada FMT.

FMT sedang mendapatkan pengesahan Kementerian Pengangkutan.

Kerajaan pada 2017 tidak membenarkan perkhidmatan perkongsian motosikal Dego Ride kerana kebimbangan mengenai keselamatan penunggang dan pembonceng.

Kementerian Pengangkutan berkata, analisis mendapati risiko pengguna motosikal terlibat dalam kemalangan maut adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali berbanding kereta.

Sabtu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya akan membantu Dego Ride, susulan cadangan membawa masuk penyedia perkhidmatan dari Indonesia, Gojek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.