Hampir 54,000 pemandu e-panggilan nikmati 600 liter subsidi BUDI95

Hampir 54,000 pemandu e-panggilan nikmati 600 liter subsidi BUDI95

Kementerian Kewangan berkata insentif itu diberikan selepas semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

fmt grab app
Mulai Rabu ini, pemandu e-panggilan akan menikmati 600 liter subsidi BUDI95 berbanding 300 liter kini.
PETALING JAYA:
Hampir 54,000 pemandu e-panggilan sepenuh masa akan menikmati peningkatan petrol bersubsidi daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata langkah itu dilaksanakan hasil semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Langkah ini diambil bagi membantu pemandu e-panggilan yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.

“Ia juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyalurkan subsidi bersasar secara lebih adil,” kata MoF.

Sebelum ini, pemandu sektor berkenaan menikmati penggunaan maksimum 300 liter sebulan di bawah BUDI95, inisiatif diperkenalkan bagi memastikan bantuan subsidi petrol RON95 disalurkan kepada golongan benar-benar memerlukan.

Tambahan subsidi kepada 600 liter itu akan dinikmati mulai Rabu ini.

Mulai 15 Okt, kumpulan pekerja gig itu akan menikmati tambahan kelayakan subsidi berbanding 300 liter kini yang tidak perlu dimohon secara individu, sebaliknya diuruskan kerajaan dengan syarikat pengendali e-panggilan (EHO).

MoF turut memaklumkan bahawa lebih 11,400 pemegang lesen memandu kini layak menerima manfaat BUDI95, terdiri daripada 11,200 pemandu baharu dan 260 pemandu yang memperbaharui lesen mereka.

“Dengan perkembangan ini, lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menikmati manfaat daripada program BUDI95,” katanya.

Orang ramai disaran mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, yang dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi menggunakan MyDigital ID bagi menjamin keselamatan data peribadi pengguna.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian bantuan 1-300-88-9595 atau WhatsApp +603-2631 4595.

Menerusi BUDI95, harga petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan menggunakan MyKad.

Warga asing serta pembeli lain yang tidak layak dikenakan harga pasaran sebanyak RM2.60 seliter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.