Bekas pembantu tadbir tabung pendidikan Melaka didakwa pecah amanah RM2.4 juta

Bekas pembantu tadbir tabung pendidikan Melaka didakwa pecah amanah RM2.4 juta

Tertuduh Mohd Hanafi Ismail didakwa atas 146 pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM2.4 juta sejak 2 tahun lepas.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah di Unit Kewangan Tapem, Bangunan Kota Cemerlang, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya antara 23 Jan 2017 dan 21 Dis 2018 dan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
MELAKA:
Bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas 146 pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM2.4 juta sejak 2 tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Hanafi Ismail, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan hampir sejam oleh 2 jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Mohd Nasir Nordin.

Mohd Hanafi, didakwa sebagai individu yang mempunyai penguasaan ke atas suatu harta melakukan pecah amanah jenayah dengan curangnya menyalahgunakan harta, iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri ini berjumlah RM2.404 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Unit Kewangan, Tapem, Bangunan Kota Cemerlang, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya di sini, antara 23 Jan 2017 dan 21 Dis 2018 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan Mohd Hanafi dikenakan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa serta 4 adiknya yang masih bersekolah.

Hakim Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan, iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 Okt untuk sebutan semula kes.

Selain Irwan Shah, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Emirul Sarifudin, Ahmad Hafiz A Bakar dan Kenneth Kassa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.