
Pengarah Danau Girang Field Centre yang diurus bersama oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Universiti Cardiff, Benoit Goossens berkata, pemindahan itu akan memberi kesan besar ke atas alam sekitar kerana kerja-kerja pembinaan dijangka meliputi kawasan hutan yang luas.
“Ia pasti memberi kesan besar ke atas pulau Borneo dan tidak semestinya positif,” katanya kepada FMT.
“Saya berharap kerajaan Indonesia tahu bagaimana untuk menangani keadaan itu, selain merujuk nasihat pakar alam sekitar dalam melaksanakan projek itu.”
Baru-baru ini, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan bahawa ibu negara baru itu kemungkinan besar akan ditempatkan di daerah Penajam Paser Utara dan daerah Kutai Kertanegara.
Lokasi itu dilaporkan merupakan kawasan hutan yang dimiliki kerajaan dan dikatakan kerap mengalami bencana alam seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan banjir.

Goosens berkata, projek berkenaan akan memberi tekanan sangat besar ke atas pulau Borneo.
“Ini mungkin menjadi cabaran terbesar sehingga kini,” katanya.
“Saya tidak nampak bagaimana projek sedemikian tidak memberi kesan alam sekitar yang besar ke atas pulau ini.”
Beliau berkata, naik taraf perhubungan antara Sabah dengan Kalimantan juga bermakna penebangan kawasan hutan.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo sudah pun memintas jantung Borneo. Tidak dapat saya bayangkan perkara buruk lain yang akan berlaku sekiranya projek ibu negara (Indonesia) itu diteruskan.”

Aktivis alam sekitar Rahimatsah Amat bagaimanapun berkata, pembinaan ibu negara baru Indonesia itu tidak akan menghampiri sempadan Sabah maupun Sarawak.
“Saya tidak terlalu bimbang tentang itu,” katanya.
Bagi beliau, kebimbangan mendesak ialah berkaitan Lebuhraya Pan Borneo itu sendiri.
“Kebimbangan utama kita di Sabah ialah lebuh raya antara Sapulut dan Tawau, terutama kawasan perlindungan yang luas dari Lembangan Maliau ke Bukit Tawau,” katanya.