
“Penularan demam campak di Kuala Koh terkawal dan Kementerian Kesihatan sudah melakukan imunisasi tambahan kepada kanak-kanak Orang Asli di semua kawasan terjejas,” kata Pengarah Kawalan Penyakit, Dr Aaisah Senin dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan bercadang memperluaskan imunisasi MMR kepada orang dewasa dan penempatan Orang Asli yang lain.
“Kami sudah mendidik mereka daripada perspektif kesihatan. Jadi, apabila mereka jatuh sakit, mereka akan pergi ke kemudahan kesihatan terdekat.”
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan 4 kematian Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dan Hulu Terengganu akibat demam campak.

Sejak wabak itu dilaporkan berlaku pada 3 hingga 9 Jun lalu, sebanyak 178 kes dilaporkan dengan 147 kes di Kelantan (termasuk 3 kematian), 23 di Terengganu (termasuk 1 kematian) dan 8 di Pahang.
Daripada jumlah itu, 88 kes disahkan ialah demam campak selepas ujian makmal.