
Katanya, ia sekadar memberi pandangannya dengan mencadangkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menukar waktu konsert itu.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di negara ini, Jakim memberi pandangan 1 Muharram 1441H yang merupakan hari kebesaran Islam, bermula pada terbenam matahari 31 Ogos sehingga terbenam matahari 1 September 2019, adalah wajar konsert hiburan pada waktu tersebut dipinda ke tarikh atau waktu yang lain,” kata Jakim dalam kenyataan hari ini.
Raaghav Productions yang menganjurkan konsert menampilkan penyanyi dari India, SP Balasubrahmanyam, mula menjual tiket bagi persembahan pada malam 31 Ogos ini, tetapi Puspal enggan mengeluarkan permit kecuali penganjur menukar waktu itu.
Susulan rayuan yang dikemukakan, konsert itu difahamkan akan diteruskan selepas penganjur bersetuju ia diawalkan 4 jam, iaitu bermula 3 petang.
Puspal yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diketuai Gobind Singh Deo, memetik pandangan Jakim menyatakan waktu konsert itu perlu diubah kerana ia sama dengan Awal Muharram.
Tarikh 1 Muharram 1441H bermula ketika matahari terbenam pada 31 Ogos ini.
Jakim berkata, ia tiada kuasa untuk menghalang pengeluaran permit bagi penganjuran konsert.
“Pandangan Jakim hanya sebagai panduan selaras kedudukan Islam sebagai agama persekutuan kepada Puspal yang mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau sebaliknya, berdasarkan peraturan dan undang-undang.”