
Pengasasnya, Nabil Feisal Bamadhaj berkata walaupun Dego Ride masih kecil berbanding Gojek, ia akan menonjolkan keistimewaan sebagai pemain tempatan.
“Apa yang penting, dari segi pembangunan, peduli golongan B40 dan golongan muda harus dipuji.
“Saya harap boleh kerjasama dengan pihak kerajaan dan mendapat sokongan daripada mereka sebagai pemain tempatan untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, Syed Saddiq berkata pihaknya juga akan membantu Dego Ride, susulan lampu hijau Kabinet pada cadangan memperkenalkan semula e-panggilan motosikal.
Syed Saddiq sedia maklum Dego Ride pernah menawarkan khidmat itu pada 2016 sebelum dihentikan oleh kerajaan yang lepas atas faktor keselamatan.
Nabil berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan semua pemain termasuk daripada luar negara seperti Gojek.
“Ini satu perkembangan yang sihat bagi memastikan ekosistem di negara ini berdaya maju dan makin berkembang dari segi penyediaan peluang pekerjaan dan bakat.
“Kita sebagai pemain tempatan swasta ingin melihat ada persaingan walaupun syarikat gergasi-gergasi besar di luar itu ingin masuk ke pasaran tempatan,” katanya.
Gojek merupakan syarikat gergasi Indonesia dalam perniagaan e-panggilan motosikal.
Kerajaan pada 2017 tidak membenarkan operasi e-panggilan motosikal Dego Ride berikutan kebimbangan mengenai keselamatan pemandu dan pemboncengnya.
Kementerian Pengangkutan berkata, analisis mendapati risiko pengguna motosikal terlibat dalam kemalangan maut adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali berbanding kereta.