Saat pemimpin bergaduh, murid bertarung dengan banjir dan anai-anai

Saat pemimpin bergaduh, murid bertarung dengan banjir dan anai-anai

SK Ulu Bawan terletak kira-kira 50km dari bandar Kanowit merupakan salah satu sekolah yang sangat usang dan mudah dilanda banjir di Sarawak.

SK Ulu Bawan dilimpahi banjir sedalam hingga 3 kaki (1m)
KUCHING:
Ketika pemimpin politik bertelagah berhubung dana membaiki sekolah usang di Sarawak, murid sebuah sekolah rendah di Ulu Bawan bertarung antara banjir, anai-anai dan kurangnya kemudahan.

Dari kejauhan, bangunan sekolah itu kelihatan bersih dan cantik. Tetapi ia tidak lama sebelum sekolah itu ditenggelami banjir semasa musim hujan, merosakkan kemudahan dan sebahagian besar tumbuhannya.

SK Ulu Bawan terletak kira-kira 50km dari bandar Kanowit, mengambil masa 1 jam perjalanan dan merupakan salah satu sekolah yang sangat usang dan mudah dilanda banjir di Sarawak.

Anai-anai memakan dinding kuarters guru.

Ia mempunyai 139 murid yang membentuk 1 kelas bagi setiap darjah serta 16 guru dan 7 tenaga bukan pengajar.

Seorang ibu bapa yang enggan dikenali memberitahu FMT, sekolah itu dilanda banjir lebih 10 kali tahun ini.

“Setiap tahun, sekolah akan dilanda banjir ketika musim hujan. Ia berlaku sejak lewat 1990-an ketika jalan dibina dan penduduk kampung berdekatan tidak lagi bergantung kepada pengangkutan melalui sungai.”

Banjir terakhir adalah pada Julai. “Sungai berdekatan dihalang oleh cabang dan air tidak boleh mengalir dengan betul dan melimpahi tebing,” katanya.

Bilik darjah tidak terjejas tetapi ruang aktiviti sekolah, padang bola sepak, makmal komputer, gelanggang sepak takraw dan dewan serbaguna akan digenangi air sedalam 3 hingga 4 kaki (1m-1.4m) dan padang bola sepak tidak lagi seperti padang, ia akan menjadi tasik, katanya.

Gotong-royong diadakan untuk membersihkan kawasan sekolah daripada lumpur, tetapi banyak kemudahan sekolah yang rosak.

Serangan anai-anai menjadi satu lagi masalah yang merosakkan 2 bangunan kayu yang dibina pada 1970-an. Siling dewan makan sekolah akan runtuh kerana tidak ada tiang untuk menyokongnya, kata ibu bapa itu.

Dinding bilik guru besar terjejas akibat anai-anai.

Kakitangan sekolah menggunakan sebahagian sumbangan RM20,000 daripada Adun Ngemah untuk membina tiang sokongan di dewan makan, membaiki katil asrama yang usang dan ruang aktiviti. Derma dibuat untuk membeli 57 tilam untuk murid-murid yang tinggal di asrama sekolah. Mereka perlu membawa bantal dan selimut mereka sendiri dari rumah.

SK Ulu Bawan juga tidak mempunyai kemudahan seperti komputer dan sambungan internet. Terdapat makmal komputer tetapi tiada komputer. Tiada bilik kakitangan atau kantin. Sebuah kelas yang tidak digunakan diubah menjadi bilik guru.

Terdapat hanya 1 tandas lelaki dan wanita untuk murid, tetapi tandasnya tidak sempurna, katanya. “Terdapat 3 dorm untuk wanita dan 2 dorm lelaki di asrama. Dorm wanita masih dalam keadaan baik tetapi dorm lelaki berada dalam keadaan buruk.”

Kuarters guru juga berada dalam keadaan tidak memuaskan dengan lubang di dinding dan lantai yang reput.

Difahamkan tender dikeluarkan pada Jun untuk membina 2 blok bilik darjah.

Siling dewan makan disokong 2 tiang bagi mengelakkannya runtuh.

Terdapat 1,454 sekolah di Sarawak, di mana 1,020 daripadanya adalah kategori usang dan 415 dalam keadaan kritikal usang. Dana untuk proses pembaikan tertangguh akibat pertikaian antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berjanji untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh 2 tahun akan datang dan Menteri Pendidikan negeri, Michael Manyin berkata kerja pembaikan mungkin bermula tidak lama lagi di sekurang-kurangnya 5 sekolah kritikal usang.

Pembaikan ditangguhkan kerajaan persekutuan yang menuntut pembayaran balik pinjaman sebanyak RM1 bilion. Ketua Menteri Abang Johari Openg, berkata beliau bersetuju membayar RM350 juta sebagai sebahagian daripada penyelesaian, supaya wang itu akan disalurkan untuk proses baik pulih.

“Tetapi apabila saya bertanya Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk melepaskan dana itu, beliau berkata ia perlu menubuhkan jawatankuasa terlebih dahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.