Maszlee: KPM tunggu laporan kes murid gantung diri kerana banyak kerja sekolah

Maszlee: KPM tunggu laporan kes murid gantung diri kerana banyak kerja sekolah

KPM akan menjalankan siasatan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan, termasuk mengubah modul pembelajaran sekiranya perlu.

Pada malam Sabtu lepas, seorang pelajar Tingkatan Satu ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai menggantung diri di dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Georgetown.
SUNGAI PETANI:
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih menunggu laporan penuh daripada polis berhubung kes pelajar berusia 13 tahun yang menggantung diri akibat tekanan kerana kerja sekolah terlalu banyak.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, kementerian juga akan menjalankan siasatan sendiri berhubung kes berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan, termasuk mengubah modul pembelajaran sekiranya perlu.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana sepatutnya sekolah menjadi tempat yang gembira untuk pelajar menimba ilmu, selain memupuk kasih sayang. Tetapi bila sampai tahap dapat tekanan, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, buat masa ini masih terlalu awal untuk buat apa-apa kerana kita masih tunggu laporan siasatan polis dan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok yang terjejas akibat ribut baru-baru ini.

Pada malam Sabtu lepas, pelajar berkenaan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai menggantung diri di dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, Georgetown, Pulau Pinang.

Hasil siasatan mendapati remaja terbabit dikatakan kurang berminat untuk belajar, selain prestasi pelajarannya yang agak lemah, termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak.

Ketika diminta mengulas kenyataannya dalam Twitter mengenai kerajaan akan memastikan semua murid yang hadir ke sekolah mulai 2020 dilengkapi dengan sarapan, Maszlee berkata, program itu akan dimulakan pada tahun hadapan.

“Program makanan percuma ini adalah untuk semua pelajar dan konsepnya kita mahu pastikan semua murid mendapat makanan yang berkhasiat kerana kita mahu bina generasi yang sihat, mendapat zat makanan cukup bagi mendapatkan otak yang cerdik.

“Program ini juga membolehkan pelajar menguasai sivik di mana pelajar akan duduk makan dengan guru, belajar adab makan yang betul termasuk lepas makan kena basuh peralatan sendiri di mana semua ini dapat melatih disiplin mereka dengan lebih baik,” katanya.

Mengenai tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menghalang anak mereka mendapatkan pendidikan sebagai tanda protes terhadap pelajaran tulisan jawi di sekolah, Maszlee berkata, NGO serta masyarakat sepatutnya menggalakkan anak untuk pergi ke sekolah dan bukan sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.